Cerminan tarbiah Ramadhan


Cerminan tarbiah Ramadhan – Oleh Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed

RAMADHAN baru sahaja meninggalkan umat Islam. Ada antara kita yang sedih kerana kehilangan Ramadan dan ramai juga yang rasa gembira bila tamatnya bulan yang mulia ini. Kegembiraan ini berdasarkan hari raya yang disambut dengan meriah bersama keluarga, saudara dan jiran tetangga. Namun di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan di seluruh negara adalah satu cabaran yang perlu ditempuhi dengan penuh kesabaran dan mengharapkan rahmat dan hikmah Allah yang tersembunyi.

Berlainan sambutan hari raya dalam kalangan ulama dan orang soleh yang mana Aidilfitri bukan sekadar keraian yang meriah, tetapi hakikat kegembiraan di sisi mereka ialah kemenangan yang diraih selepas melawan hawa nafsu selama sebulan. Namun dalam keriangan itu ada rasa risau di hati mereka kerana dikhuatiri amalan mereka tidak diterima dan tidak mendapat pengampunan dari Allah SWT.

Hal ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menceritakan, suatu hari ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali).” Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, ketika engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu beliau (Jibril) berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku berkata: Amin.” (Riwayat Ibn Hibban)



Bulan pengampunan dan pembebasan

Berdasarkan hadis di atas, jelas terdapat kecaman dari Allah SWT ke atas sesiapa yang tidak menghayati Ramadan sebagai bulan pengampunan dan pembebasan dari api neraka. Bahkan Ramadan di sisinya sama seperti bulan-bulan lain dilalui manakala puasanya hanya mendapat lapar dan dahaga. Ibn al-Jauzi menjelaskan kedudukan hari raya yang sebenar di dalam karyanya al-Tabsirah, kata beliau: “Hari raya itu bukan seseorang yang melabuhkan pakaiannya dengan kesombongan, juga bukan tangan yang jahat mengambil makanan, tetapi (hakikat) hari raya itu sesiapa yang memakai pakaian taubat dari segala maksiat.”

Oleh itu, Aidilfitri menurut para solihin sebagai satu cerminan yang menampakkan kesan tarbiah di sepanjang bulan Ramadan. Perkara ini digambarkan oleh Abu Mansur al-Syirazi, kata beliau: “Hari raya itu bukanlah untuk orang yang tenggelam (dengan nikmat dunia), tetapi ia hari seseorang itu mendapat pengampunan.”

Ibn Rajab al-Hanbali juga menggambarkan maksud hari raya yang sebenar di dalam karyanya Lataif al-Ma’arif, kata beliau: “Malam hari raya hakikatnya ialah pengampunan dan perlepasan seseorang hamba dari api nereka, sesiapa yang mencapai tahap ini maka dirinya layak untuk berhari raya, jika tidak dirinya layak dicampak sejauh-jauhnya (dari rahmat Allah).”

Berdasarkan beberapa kenyataan ulama di atas, jelas bahawa hari raya berperanan sebagai indikator yang memberi gambaran sama ada seseorang itu berjaya atau tidak melalui tarbiah rohani di sepanjang Ramadan. Boleh dikatakan jika seseorang itu pada hari sambutan Aidilfitri tidak berusaha mendekatkan dirinya pada Allah dan tidak menjauhkan diri dari segala yang terlarang, ini bermakna dia gagal dalam tarbiah Ramadan.



Hari yang tiada kemaksiatan terhadap Allah

Saya teringat kisah salah seorang Khulafa Rashidin yang amat menyentuh hati di hari raya yang mana ada seorang lelaki datang bertemu dengan Saidina Ali bin Abu Talib RA. Ketika itu beliau sedang menikmati hidangan roti yang keras. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Pada hari raya ini engkau makan roti keras sebegini?” Lalu Saidina Ali menjawab: “Hari ini adalah untuk orang yang diterima puasa dan ibadahnya, hari raya juga untuk orang yang diampunkan dosanya, disyukuri usahanya dan diterima amalannya. Hari ini hari raya dan esok juga hari raya bagi kami. Mana-mana hari yang tiada kemaksiatan terhadap Allah maka itulah hari raya.”

Oleh sebab itu, hari raya memerlukan penghayatan yang berlandaskan syariat dan bukan sekadar memenuhi tuntutan adat semata-mata. Sambutan Aidilfitri perlu diiringi dengan hubungan seseorang hamba dengan Tuhannya agar dapat dipastikan ia tidak bertentangan dengan kehendak Allah. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah yang menjelaskan tujuan Ramadan itu dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW: “Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Sheikh al-Sa’di dalam karya tafsirnya telah mentafsirkan frasa ‘agar kamu bertakwa’, iaitu puasa berperanan melatih diri agar sentiasa mengingati Allah dengan meninggalkan apa sahaja yang tunduk kepada hawa nafsu yang gemar melanggar perintah Allah. Sifat puasa itu sendiri menyempitkan laluan syaitan dari menghasut anak Adam dan mengurangkan kehendak syahwat dari melakukan maksiat. Selain itu juga puasa mendidik manusia agar mempergiatkan ketaatan kepada Allah.

Objektif pensyariatan puasa



Maka jelas tafsiran ini menunjukkan bahawa objektif pensyariatan puasa di bulan Ramadan sebagai satu madrasah yang mampu mendidik jiwa manusia agar kembali kepada fitrah yang sebenar. Justeru, sesiapa yang melalui Ramadan dengan penuh ketakwaan dan keimanan nescaya hari rayanya digambarkan dalam bentuk ketaatan, sekali gus menjadikan seseorang itu lebih baik dari yang sebelumnya.

Teringat kata-kata guru kami yang mulia, Sheikh Dr Mustafa al-Nadwi ketika beliau menceritakan sikap golongan salaf meraikan Aidilfitri dengan tidak melupakan Ramadan yang baru sahaja meninggalkan mereka. Sehinggakan mereka tidak melengahkan waktu untuk berpuasa 6 Syawal dan ditambah pula dengan puasa sunat di bulan itu, iaitu puasa Isnin, Khamis, hari-hari putih dan hitam (puasa akhir bulan).

Gambaran yang ditunjukkan di atas merupakan sikap hamba Allah yang benar-benar memahami falsafah Ramadan dan Aidilfitri yang berpaksikan kepada ketakwaan. Jadi, musim hari raya tidak hanya tertumpu kepada adat semata-mata dengan memperagakan pakaian yang cantik dan serba baharu, makanan yang enak dan menyelerakan, tetapi ia perlu disulami dengan dambaan rahmat Allah yang berterusan. Sesungguhnya rahmat Allah tidak akan hadir melainkan dengan mengingati Allah secara berterusan, bukan tenggelam dan hanyut dalam kemurkaan-Nya.

Suatu hari, anak-anak gadis seorang khalifah agung, Umar bin Abdul Aziz datang bertemu ayahanda mereka untuk mengadukan sesuatu. Mereka pun berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Esok hari raya, kami tiada pakaian baharu untuk dipakai.” Khalifah Umar melihat anak-anak gadisnya seraya berkata: “Wahai anak-anakku! Raya itu bukanlah seseorang itu mesti memakai pakaian yang baharu, tetapi sesungguhnya hari raya itu bagi sesiapa yang mengingati hari yang penuh dengan siksaan (kiamat).”



Kisah seperti ini sebagai satu contoh yang amat tinggi nilai akhlaknya bagi umat Islam dalam meraikan hari raya yang mulia. Sikap tidak mengutamakan duniawi pada hari kebesaran ini merupakan teladan perlu diterapkan ke dalam setiap jiwa individu Muslim dan ahli keluarga.

Melalui penerapan ini seseorang Muslim dapat mengelakkan pelbagai perkara yang negatif ketika di hari raya, antaranya pakaian yang tidak patuh syariah dan pembaziran wang, harta dan makanan.

Selain itu masa dapat dimanfaatkan dengan pengisian yang lebih mendatangkan faedah dan keredaan Allah SWT. Semoga hari raya kita pada kali ini lebih bererti dengan mencontohi Rasulullah SAW dan para salaf.

Penulis Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan



Cerminan tarbiah Ramadhan


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Haram Potong Kuku Dan Rambut Semasa Haid? Ini Penjelasan Ustaz TikTok



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker