Kurus, cengkung Khalis kena sihir

Penyanyi, Tajul, tidak menolak dakwaan abangnya yang juga penyanyi, Khalis terlantar sakit akibat terkena ilmu hitam.

Bagaimanapun, Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari tidak mahu mengiyakan kerana tahu orang ramai pasti memahami selepas melihat keadaan abangnya.

“Orang luar boleh agak sebenarnya apabila melihat gambar Khalis. Kalau nak cakap pun, perkara ini agak sensitif sebab ada yang percaya dan sebaliknya mengenai sihir dan ilmu hitam ini.



“Jadi, saya tidak mahu berkata lebih-lebih. Tetapi, nak atau tak nak, perkara ini kena percaya sebab memang ada. Jika pernah kena mungkin tahulah macam mana keadaannya.

“Jika mahu diikutkan, perkara ini sudah lama sebenarnya terjadi pada abang sejak awal menjadi penyanyi lagi, tetapi sekarang bertambah teruk. Khalis tidak sedar 100 peratus, terbaring, tidak boleh bercakap dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Tajul berkata, keadaan abangnya kini beransur pulih dan berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan Khalis.

“Sekarang ini, abang masih di hospital. Alhamdulillah keadaannya semakin baik, cuma tidak boleh makan dan mengharapkan air masuk ke dalam badannya,” katanya.



 

Tajul berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan abangnya, Khalis (kiri). - Foto IG Khalis
Tajul berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan abangnya, Khalis (kiri). – Foto IG Khalis

 

Katanya, dia dan keluarga berusaha membawa Khalis pergi berubat, namun belum berjaya sembuh sepenuhnya.

“Kami sudah banyak kali berikhtiar, bawa Khalis pergi berubat sana sini, tetapi keadaannya masih berulang. Sudah sembuh, kemudian sakit balik. Kami bawa pergi berubat dengan pengamal perubatan tradisional yang kuat pun, penyakitnya datang semula.



“Ada sekali saya bawa pergi jumpa orang Jawa untuk merawat. Selepas dirawat, Khalis boleh berdiri dan terus bercakap daripada terbaring. Dia boleh minta air dan makan. Kemudiannya selang dua hingga tiga hari, kena balik.

“Itu yang sakit hati, kami pun tidak tahu kenapa ada manusia sanggup buat sebegini pada orang lain dalam dunia ini,” katanya.

Awal bulan lalu, tular foto Khalis atau nama sebenarnya, Muhammad Khalis Md Shari kelihatan pucat, berwajah cengkung dan badan kurus kering didukung seseorang masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital dalam media sosial.

Penyanyi lagu Semakin Rindu itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar di kediamannya.



Sejak itu, wujudnya dakwaan mengatakan Khalis yang juga adik kepada Allahyarham Achik Spin itu sebenarnya mengalami sakit teruk akibat sihir atau ilmu hitam.

Khalis mempunyai seorang isteri dan memikul tanggungjawab membesarkan tujuh cahaya mata berusia daripada 9 hingga 20 tahun. Tiga daripada mereka adalah anak tiri, dua anak sendiri dan dua lagi anak saudara yang dipelihara sejak kecil.-BH


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT




 

‘Doakan Segalanya Dipermudahkan’ – Tajul Tak Sabar Timang Cahaya Mata Kedua



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker