Kos tunai umrah naik 50 peratus?

PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) menjangkakan kos mengerjakan umrah akan naik lebih kurang 50 peratus dari harga indikator yang telah ditetapkan.

Difahamkan, sebelum ini harga indikator pakej umrah telah ditetapkan pada kadar RM4,900 untuk pakej ekonomi 12 hari 10 malam ketika sebelum pandemik.

Presiden Bumitra, Harun KC Ahmmu justeru berpendapat, laporan yang mengatakan kos mengerjakan umrah akan naik sekali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19, adalah tidak wajar.

“Kami berpendapat kenaikan itu memang ada cuma ia tidak terlalu mendadak, jadi orang ramai tidak perlu bimbang,” katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Harun berkata, kenaikan kos itu antara lain disebabkan pe­ningkatan kos pengangkutan di mana setiap bas hanya dibenarkan membawa 25 penumpang berbanding 40 hingga 48 orang sebelum pandemik berlaku.

“Selain itu, peningkatan kos akan dipengaruhi oleh tambang kapal terbang, pekerja yang mengiring jemaah, perlindungan insurans, harga bilik serta kos Cukai Nilai Tambah (VAT).

PKP 3.0: Kerajaan dituntut umum moratorium automatik

“Harga bilik memang tidak di­nafikan akan menjadi beban untuk jemaah yang lebih suka berkongsi bilik seramai empat orang kerana kali ini jumlah maksimum tetamu dalam bilik hanya dua orang sahaja,” katanya.

Mengenai insurans, Harun berkata, bakal jemaah dijangka perlu membayar premium insurans tambahan antara RM50 hingga RM60 untuk memboleh­kan mereka dilindungi risiko jangkitan Covid-19.

Sebagai contoh katanya, sebelum pandemik Covid-19, harga insurans bernilai 189 riyal (RM207.39), dan selepas berlaku pandemik, kos insurans akan menjadi kira-kira 235 riyal (RM257.86), meningkat kira-kira RM50.47.

Jelas beliau, memetik portal berita Saudi Gazette, penambahan itu bertujuan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk bukan warganegara Arab Saudi dari luar negara untuk tujuan pelancongan, lawatan dan umrah sekiranya mereka dijangkiti virus berkenaan.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu kos insurans yang akan dikenakan secara rasmi pihak berkaitan dari Arab Saudi,” katanya.

Tambah beliau, peserta umrah juga perlu bersedia dengan perkara luar jangka seperti kos kuarantin sekembali ke tanah air. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker