Tidak selesa dengan kerajaan PN, sila letak jawatan – Hadi Awang
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mahu penjawat awam mengikut arahan kerajaan yang dikuasai parti-parti yang memerintah walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.
Katanya, sekiranya, penjawat awam tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.
“Mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.
“… secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Hadi seterusnya menggunakan contoh seorang pemain bola sepak profesional dari Kedah yang menerima tawaran bermain di Selangor dengan bayaran lebih mahal.
“Dalam perlawanan bola sepak antara negeri asalnya iaitu Kedah dengan pasukan bola sepak negeri Selangor, tiba-tiba dia menyerang pintu gol Selangor untuk memenangkan pasukan negeri asalnya.
“Ini adalah suatu perkara yang salah dari segi moral.
“Begitulah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi,” katanya.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu pada tahun 2018, Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Namun menerusi langkah Sheraton, pada 2020, dengan tindakan Dr Mahathir Mohamad bertindak meninggalkan Bersatu selepas presidennya, Muhyiddin Yassin itu membuat keputusan untuk keluar PH, gabungan itu tumbang.
Pada Mac tahun itu, Bersatu bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, hubungan antara Umno dan Bersatu retak apabila kedua-dua parti tidak lagi sehaluan selepas membentuk kerajaan.
Baca Artikel Menarik
- Popia Nestum Sedap
- Jambatan Kaca Rosak Dilanda Hujan Batu, Pelancong Terkandas
- “Orang kata saya kaya” – Mahathir
Layari Laman Facebook My KMU NeT