Kerajaan digesa tangguh SPM, STPM ke tahun depan, ganti PT3 dengan kertas projek

Sebuah badan pemerhati pendidikan meminta Putrajaya supaya menangguhkan peperiksaan SPM dan STPM ke tahun depan berikutan sekolah ditutup bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) berkata, sekolah sudah ditutup selama 6 minggu dan ia mungkin tidak adil untuk meneruskan peperiksaan terbabit.

“Kerajaan boleh bawa peperiksaan terbabit ke tahun depan dan universiti boleh membenarkan pelajar yang sudah menamatkan STPM mereka untuk memohon kemasukan tahun depan,” kata pengerusi Noor Azimah Abdul Rahim.

Noor Azimah, yang juga ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan berkata, walaupun pelajar mempunyai akses kepada pembelajaran atas talian, ramai yang tidak mempunyai akses internet.

“Kita perlu melakukannya dengan baik kerana SPM dan SPM diiktiraf di seluruh dunia,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa ia mungkin tidak adil untuk menyediakan kelas kilat kepada pelajar terbabit agar mereka dapat menduduki peperiksaan tepat pada waktunya.

Nor Azimah Abdul Rahim
Untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan PT3 (Tingkatan 3), Nor Azimah berkata, kementerian pendidikan mungkin perlu mengkaji semula format itu.

“Mereka boleh diuji berdasarkan penilaian dengan mengadakan ujian bertulis. Biarkan mereka lakukan projek dan nilai mereka berdasarkan itu,” katanya.

Beliau berkata, beberapa negara, termasuk United Kingdom, melambatkan tarikh peperiksaan mereka berikutan pandemik Covid-19 dan Malaysia juga boleh mencari penyelesaian yang paling sesuai dilaksanakan.

PT3 biasanya diadakan pada September, sementara SPM dan STPM pada penghujung tahun.

Noor Azimah juga menyuarakan kebimbangan terhadap pelajar kumpulan B40 yang mungkin tidak mempunyai akses kepada komputer riba atau kemudahan internet.

Beliau berkata langkah terbaik adalah meningkatkan jumlah jam siaran dan program pendidikan menerusi RTM1. Pada masa ini, terdapat beberapa program, tetapi sesetengah program itu disiarkan hanya 1 jam pada 9 pagi dan 1 jam lagi pada 1 petang.

“Itu tidak mencukupi. Program ini kebanyakan untuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama. Yang lain masih tercicir,” katanya, sambil menambah kerajaan boleh menimbangkan untuk menyiarkan program pendidikan dari 8 pagi hingga tengah hari setiap hari.

“Terdapat banyak program pendidikan percuma atas talian yang diterbitkan di dalam negara dan di UK yang boleh digunakan oleh saluran televisyen,” katanya, selain memberitahu bahawa pihak berkuasa pendidikan boleh membuat perjanjian dengan pengeluar.

Beliau berkata, program perlu dijadualkan dengan betul supaya pelajar tahu apa yang akan mereka pelajari pada hari berikutnya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker