Kartel daging sejuk beku, 36 individu ditahan


Johor Bahru: Seramai 36 individu ditahan polis di enam negeri menerusi Ops Kartel Daging yang dilancarkan pada 9 April lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket kartel daging sejuk beku import.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, 34 daripada yang ditahan itu ialah pengarah syarikat manakala dua lagi pengurus berusia antara 28 hingga 67 tahun.

Beliau berkata, sebanyak 19 syarikat pengedar disyaki berkomplot dengan sebuah syarikat pengimport sah dari Brazil.

“Syarikat ini hanya layak mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan namun mengedar lebih 1,000 tan dengan keuntungan tahunan sehingga RM52 juta.



“Mereka menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan bagi tahun lalu, selain didapati mengedarkan kepada 202 pelanggan. Perkara ini dikesan menerusi invois yang dirampas polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Huzir berkata, syarikat itu turut didapati menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging diimport dari Brazil.

“Siasatan mendapati syarikat ini banyak menerima tempahan kerana menawarkan harga lebih murah selain memberi kemudahan pembayaran mudah iaitu kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain yang menerima pembayaran tunai semasa serahan (COD).



“Syarikat ini juga mampu memenuhi permintaan pelanggan kerana sentiasa mempunyai stok mencukupi sedangkan siasatan mendapati syarikat itu hanya menggunakan empat permit bersamaan 108 tan daging.

“Kegiatan ini menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran, bukan saja memberi kesan kepada masyarakat malah daging yang dibungkus semula tidak dapat disahkan tahap kebersihannya dan tidak diperakui veterinar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis sedang mengesan dua dalang utama berusia 42 dan 44 tahun untuk membantu siasatan.

“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan peringkat Bukit Aman dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan di Kontinjen Johor.



“Siasatan bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menunjukkan tiada keterangan untuk menuduh mana-mana individu, namun siasatan di Kontinjen Johor mendapati wujud elemen yang menjurus kepada kesalahan pakatan jahat jenayah,” katanya. HM

Kartel daging haram: Pengarah syarikat suspek terbaru direman



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker