Encik suami dah pesan, jangan – Neelofa


KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti jutawan popular tanah air, Neelofa, 32, tidak pernah terfikir untuk mengundur diri dari dunia seni hanya demi mengalah kepada kecaman dan kritikan warga net yang tidak berkesudahan.

Menurut Neelofa, meski sedar kecaman datang dari kiri dan kanan, dia lebih selesa untuk bersikap positif walaupun sedar sejak bergelar isteri kepada Haris Ismail, 25, semakin banyak pihak menghentam dirinya menerusi pelbagai kontroversi yang berlaku.

“Saya positif saja, semua orang tahu saya akan sentiasa bergerak ke depan dan tak terkesan dengan apa yang orang cakap. Dulu lagi teruk saya dihentam rasanya.

“Dari tahun 2011, macam-macam kena. Apa saja yang orang tak kata pada saya? Mengenai apa yang berlaku sebelum ini, cukuplah. Saya tak mahu komen dah sebab encik suami pun dah pesan, jangan panjang-panjangkan isu lagi,”katanya.

Neelofa berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran Program Infaq Pertubuhan Kasih Neelofa di Hotel Majestic di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, dia sebagai pengerusi telah melancarkan program Iftar Box dan Food Box yang akan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Selain itu, kata Neelofa, kontroversi yang berlaku kebelakangan ini juga dilihat tidak menjejaskan kebahagiaan hidupnya bersama suami malah kedua-duanya lebih berasa teruja untuk menyambut kedatangan Ramadhan tidak lama lagi.

“Bersyukur sahaja sebab tahun ini dapat menjalani ibadah puasa bersama seorang suami. Kalau boleh nak melangkah ke bulan agung dan penuh keberkatan ini dengan hati yang bersih dan baru.

“Semoga kita semua dapat aura dan merasai kemanisan bulan Ramadhan ini bersama-sama,”katanya.

Dalam pada itu, dia melahirkan rasa syukur kerana Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), sudah genap berusia setahun dan berbesar hati dapat menyalurkan lebih banyak bantuan kepada pelbagai pihak yang memerlukan.

“Alhamdulillah, dengan pinjaman nama yang Allah SWT kurniakan ini, diharapkan semakin ramai pihak meletakkan kepercayaan untuk saya menerusi PKN menyampaikan amanah sumbangan dan bantuan kepada orang yang memerlukan,”katanya.

PKN selain Iftar Box dan Food Box, turut merangka program lain sepanjang tahun ini dan ia melibatkan program Infaq Yaman, Infaq Quran, Infaq Rehal, Infaq Kasih Ummah (Susu Nilofa) dan Program Qurban 2021. UM

Neelofa diselar penunggang agama, syarikat Fipper tampil perjelaskan kekeliruan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker