Hantu dalam Imigresen
Kuala Lumpur: Harapkan pegar, pegar makan padi. Malah, ramai yang sanggup menjadi musuh dalam selimut selepas tidak tahan dengan godaan habuan lebih RM10,000 sebulan ditawarkan sindiket.
Itu antara tindakan segelintir pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta kakitangan teknikal syarikat pembekal sistem kerajaan yang bersekongkol dengan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sejak beberapa tahun lalu.
Kewujudan ‘hantu’ dalam organisasi JIM ini antara punca sistem pangkalan data JIM mudah digodam dalam kalangan ahli sindiket yang mengaut keuntungan ratusan juta ringgit sejak mula beroperasi.
Terbaru semalam, SPRM berjaya menahan empat pekerja teknikal syarikat pembekal sistem berusia antara 35 tahun hingga 39 tahun bagi membantu siasatan selepas disyaki menjadi tali barut sindiket PLKS ini.
“Mereka ini dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal itu membawa kepada penemuan beberapa komputer di JIM yang dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman.
“Selain itu dua pegawai JIM turut ditangkap SPRM kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket licik berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, suspek ditahan berusia antara 34 tahun hingga 42 tahun dikenal pasti terbabit dalam membantu sindiket menjalankan aktiviti menggodam sistem Pangkalan Data JIM.
“Dipercayai semua kakitangan terbabit turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini.
“Rentetan daripada itu beberapa perkakasan IT dan komputer disita daripada pejabat JIM. Turut disita komputer riba dan cakera keras milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan menggodam sistem pangkalan data JIM,” katanya.
Menurutnya, suspek turut dipercayai individu yang meletakkan router (alat penghala) di lobi dan komputer pegawai di JIM bagi menggodam pangkalan data JIM.
“Router ini berfungsi bagi membolehkan kata laluan khas pegawai JIM digodam. Dua pegawai JIM yang ditahan itu sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya petang semalam.
“Majistret Syahwira Abd Halim membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 16 April hadapan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini pihak SPRM sudah mengenalpasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi penggodaman.
“Tangkapan terbaru ini adalah lanjutan dari operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dilaksanakan bermula Selasa lalu di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.
Sumber berkata, ahli sindiket dan penggodam ini akan mendaftar masuk bilik hotel mewah lima bintang terutama di pusat ibu kota dengan menyamar persis ahli perniagaan berjaya selain menaiki kenderaan mewah.
“Malah, kumpulan sindiket turut mengusung bersama tiga mesin pencetak elektronik dan pelbagai peranti lain ke dalam bilik disewa kononnya menghasilkan laporan dan dokumen perniagaan.
“Namun semua itu hanyalah taktik ahli sindiket pemalsuan PLKS palsu dalam memastikan pergerakan mereka sukar dijejaki pihak berkuasa,” katanya.
Sumber berkata, suspek akan berpindah dari satu hotel ke hotel yang lain selain cukup berwaspada supaya tindak tanduk mereka tidak dicurigai termasuk oleh kakitangan hotel dihuni.
“Biasanya mereka akan membawa peralatan komputer termasuk sistem komputer klon dan transmitter yang digunakan sindiket ini untuk menggodam sistem pangkalan data JIM.
“Kegiatan mencetak dokumen PLKS palsu dilakukan di dalam bilik hotel berikutan mereka sudah menggodam sistem imigresen dengan memasang transmitter dan sistem klon di bilik komputer JIM,” katanya.
Terdahulu, lima tangkapan dibuat terhadap ketua sindiket yang bergelar Datuk dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai JIM pada Selasa lalu.
Sebanyak 147 akaun (milik 30 individu dan 11 syarikat) berjumlah RM9,977,954.95 juta dibekukan.
“Selain itu, dianggarkan 30 unit hartanah berjumlah RM11,868,835 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13,691,847 juta turut disita serta dibekukan. Jumlah keseluruhan adalah RM25,560,682 juta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru ini.
“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara. Semua suspek akan disiasat dalam pembabitan mereka yang bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen.
“Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam pembabitan mereka ini,” katanya.
Difahamkan, sindiket itu yang didalangi seorang lelaki bergelar Datuk berusia 43 tahun mengakibatkan kerugian beratus juta ringgit kepada kerajaan.
Datuk terbabit bersama lima individu lain sudah ditahan reman selama enam hari sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan kes PLKS palsu JIM. HM
You must be logged in to post a comment.