Mas Ermiyanti mahu pertahankan Masjid Tanah

“Saya secara peribadi akan mempertahankan kerusi ini,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermiyanti yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau bersedia mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Saya sudah komited dengan Masjid Tanah. Apa sahaja yang berlaku, saya sedia mempertahankannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat dan Pelancaran Hala Tuju MEDAC 2021, di sini hari ini.



Beliau memberi reaksi demikian ketika ditanya mengenai keputusan UMNO Melaka yang bertekad mahu mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU-14 yang lalu.

Mas Ermiyanti bagaimanapun berkata, beliau belum mendapat apa-apa jawapan daripada pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai keputusan UMNO Melaka itu.

“Saya tunggu reaksi daripada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, UMNO Melaka bertekad mempertahankan semua kerusi dimenanginya pada PRU-14 yang lalu pada PRU-15 akan datang.



Menurutnya, kerusi yang asalnya milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti Masjid Tanah tidak akan diserahkan kepada parti lain.

Pada PRU-14 2018, BN menerusi UMNO memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen yang ditandinginya selain 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dua kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU-14 ialah Masjid Tanah dan Jasin.

Mas Ermiyanti memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah namun, kemudian keluar UMNO dan menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018. – K! ONLINE.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker