Penunggang motosikal cedera dirempuh pemandu mabuk lawan arus


PETALING JAYA – Gara-gara memandu dalam keadaan mabuk, seorang penunggang motosikal nyaris maut dirempuh sebuah kereta yang melawan arus di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan berdekatan pintu gerbang Kota Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, penunggang motosikal yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai juru ukur bahan mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar berkenaan kemalangan itu di laman sosial yang memaparkan kereta jenis Perodua Axia berada di atas pembahagi jalan yang didakwa dipandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 21 tahun dari arah pusat bandar menghala ke Petaling Jaya.



“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek memandu masuk ke laluan motosikal dan melawan arus menghala semula ke pusat bandar.

“Tindakan itu menyebabkan suspek merempuh motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dari arah pusat bandar di laluan berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ekoran rempuhan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelah kanan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tegasnya, suspek telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengambil spesimen darah dan air kencing bagi ujian toksikologi.



Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 79(2) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. K Online

(Video)Polis trafik mabuk, pandu lawan arus ditahan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker