Elite takkan jadi kumpulan nasyid


SEBUT sahaja nama kumpulan Elite, pasti terus terbayang deretan lagu popular mereka seperti Manisnya Senyumanmu, Tamparan Wanita, Trauma dan G.I.G yang cukup popular sekitar penghujung era 1990-an.

Kini selepas 25 tahun penubuhannya, lagu-lagu Elite kekal malar segar dan masih diputarkan di corong radio tempatan. Begitu juga dengan anggota asalnya iaitu Abby Abadi, Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin dan Watie Sadali, mereka masih popular dan kekal aktif dalam bidang seni sehingga ke hari ini.

Biarpun ada yang sudah tidak bersama Elite seperti Abby, namun cap dagang kumpulan itu kekal utuh dalam jiwa masing-masing.

Terpaksa mengambil masa selama 20 tahun untuk kembali bergabung, namun Elite tetap tetap bersyukur kerana akhirnya impian mereka kini menjadi kenyataan.



“Kiranya, ini gabungan anggota asal yang sebenar dan lengkap iaitu selepas 20 tahun. Sebelum ini kami pernah bergabung, tetapi hanya berdua atau bertiga, tidak lengkap seperti sekarang.

“Saya merupakan anggota terawal yang meninggalkan Elite sekitar 1998. Sejak dahulu, kami ada perancangan untuk bergabung semula. Cuma disebabkan sibuk dengan komitmen masing-masing, baru sekarang

Allah izinkan perancangan tersebut menjadi,” tutur Abby membuka bicara.

Antara mereka berlima, Abby merupakan anggota paling sukar untuk menyatakan persetujuan demi gabungan semula Elite. Mungkin faktor imej serta fokusnya kini cenderung ke arah kerohanian antara penyebab wanita berusia 44 tahun itu selesa menguruskan perniagaan.



Pemilik nama sebenar Arbaiyah Abd. Manan itu bagaimanapun mendedahkan, dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk terlibat dalam projek gabungan semula Elite, sebaliknya memohon untuk menjaga batas.

“Saya seronok berada dalam lingkungan rakan-rakan yang sudah dianggap seperti keluarga. Mungkin ada yang lihat kami sudah tidak lagi bersama, tetapi hakikatnya hubungan ini masih terjaga dan rapat seperti dahulu.

“Kami sering berhubung menerusi telefon dan berniaga bersama. Jadi, apabila diberitahu bahawa gabungan semula ini akan mengangkat lagu kerohanian dan menyebar kebaikan, saya terus bersetuju. Bagi saya, buat apa pun biar ada nilai di sisi Allah,” kongsinya.

Masih awal, namun Abby menegaskan dia tidak kisah andainya keputusan untuk kembali aktif menyanyi kelak dipertikaikan sesetengah pihak. Abby juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk berhenti menyanyi atau berlakon.



“Saya tidak pernah takut dengan komen netizen. Saya juga tidak pernah kata enggan menyanyi atau berlakon lagi walaupun sudah berhijrah. Saya hanya berubah menjadi lebih baik. Tidak pernah pula keluar syarat, kalau berhijrah sudah tidak boleh menyanyi dan berlakon.

“Cuma ada syarat yang saya letakkan iaitu batasan perlu dijaga. Apa sahaja kesalahan yang pernah saya lakukan dahulu jangan diulang semula. Insya-Allah, saya akan ikut jadual dan beri komitmen sebaik mungkin,” luah Abby.

Alhamdulillah



Menyentuh tentang single terbaharu Elite berjudul Alhamdulillah ciptaan Noura dan RayyanRayhan, Linda berkata, seiring peningkatan usia dan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, lagu berunsur kerohanian tersebut disifatkan hadir pada waktu yang cukup tepat.

“Lagu ini mempunyai lirik yang sangat mendalam maksudnya. Mesej yang ingin disampaikan juga baik dan positif. Oleh itu, saya fikir apa salahnya Elite menyebarkan kebaikan buat peminat.

“Jika ada yang tersentuh dan berubah menjadi lebih baik kerana lagu ini, itu sudah dikira sebagai satu bentuk pahala dan saham akhirat,” tutur Linda.

Andai kelak single tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan, tidak mustahil Elite akan beralih tumpuan terhadap lagu-lagu kerohanian selepas ini.



Sungguhpun begitu, Linda, 43, menegaskan perubahan tersebut tidak menjadikan Elite sebagai sebuah kumpulan nasyid. Malah, lagu Alhamdulillah juga dicipta bersesuaian dengan identiti asal Elite dengan menyelitkan bahagian rap.

“Lagu Elite tidak lengkap tanpa rap. Itu memang identiti kami dari dahulu. Tambahan pula sekarang memang trend lagu rap dan kemunculan semula penyanyi-penyanyi lama, jadi rasanya kami muncul pada waktu yang tepat.

“Kami akan terus tampil dengan lagu-lagu kerohanian andai percubaan pertama ini mendapat sambutan.

“Namun, itu tidak bermakna Elite mahu menjadi kumpulan nasyid sebab bukan semua anggota Elite sudah berhijrah. Saya berharap, dengan membawa mesej yang baik dalam lagu dapat membuka hati rakan-rakan dan peminat untuk perlahan-lahan menjadi lebih baik,” ujar Linda.



Berkongsi tentang pengalaman kembali ke studio rakaman, Watie yang juga seorang pelakon mendedahkan agak sukar untuk dirinya melontarkan vokal nyanyian, terutama bahagian rap.

Jelasnya, disebabkan sudah lama tidak menyanyi dan hanya aktif berlakon, Watie mengambil masa untuk mendapat rentak ketika menjalani rakaman.

“Agak mencabar untuk kami merakamkan lagu di studio, tambahan sudah lama tidak menyanyi. Namun, percaya atau tidak kami berjaya menyiapkan proses rakaman lagu dalam masa sehari sahaja.

“Begitu juga dengan penggambaran video muzik, juga mengambil masa sehari. Kami semua sibuk, jadi mempunyai waktu yang sangat terhad untuk menjayakan kerja dalam masa serentak. Sasha pula akan pulang ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi dan tidak tahu bila dia akan kembali semula ke Malaysia.

“Jadi, kami mengejar waktu kerana mahu kemunculan setiap anggota Elite lengkap dalam lagu dan juga video muzik,” tutur Watie.

Dua dekad

Menyorot perjalanan 25 tahun karier Elite, mereka sempat berada di puncak, malah pernah juga jatuh tersembam dek kontroversi yang melingkari setiap personal Elite.

Tak mati dek keji, mereka membuktikan jenama Elite kekal ampuh sehingga ke hari ini.

Kata Linda, sepanjang 25 tahun, banyak perubahan yang berlaku bukan sahaja kepada dirinya, tetapi semua anggota Elite.

“Banyak dugaan membuatkan saya memperbaiki diri dan kehidupan supaya menjadi lebih baik. Saya amat bersyukur kerana dapat kembali bergabung, berkumpul dan bergelak tawa seperti sekarang.

“Kami bersama sejak umur 17 tahun dan 18 tahun, waktu itu semuanya masih muda remaja. Sekarang kami sudah jadi ibu tetapi tetap terasa seperti orang muda ketika bersama-sama,” seloroh Linda.

Azza pula seperti tidak percaya bahawa Elite mempunyai hayat yang begitu panjang.

“Memang tidak sangka Elite masih wujud dan kekal aktif. Saya bersyukur hubungan persahabatan kami kekal sampai ke hari ini. Mendapat sahabat yang baik seperti keluarga juga satu rezeki yang tidak ternilai.

“Jika menyentuh perihal muzik, kami masih kekal dengan KRU biarpun sudah 25 tahun. Tidak sah jika bergabung tanpa sentuhan KRU, tambahan pula idea untuk menghasilkan lagu baharu ini datangnya daripada

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music sendiri iaitu Datuk Norman Abdul Halim.

“Saya berharap yang baik-baik untuk Elite semoga usaha gabungan semula ini mendapat berkat dan sokongan semua pihak,” luah Azza menutup bicara. K Online

Lepas Gambar Pegang Taangan, Muncul Pula Gambar Fiza Halim, Saiful Apek Yangg Lebih Mengejutkan Netizen

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker