Umno 3.0 sedia ambil alih daripada Zahid, Najib, kata sumber dalaman


Spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Najib Razak dari pentas politik menjelang Ogos ini, sekali gus menyambut kemunculan kepimpinan baharu parti dikenali sebagai Umno 3.0.

“Umno 3.0 bakal mempunyai kepimpinan baharu yang akan bekerjasama dengan PPBM dan PAS,” kata sumber yang hampir dengan perbincangan itu.

Selain itu, beliau menambah gesaan supaya Zahid berundur dijangka menjadi lebih lantang dalam sedikit masa lagi, terutama dalam kalangan menteri Umno.

Umno dikenali sebagai Umno 2.0 berikutan perpecahan dalam parti itu pada 1987.

Sumber berkata, sejumlah pemimpin parti “sangat setia” kepada Zahid, tetapi apabila dua mereka (Zahid dan Najib) diketepikan, Umno akan menjadi lebih kuat.”

Beliau berkata, Umno 3.0 akan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang (PRU15) dan akan turun ke gelanggang untuk memenangi sokongan penyokong tegar di luar bandar sebagai parti Melayu terbesar di negara ini.

Bagaimanapun, seorang lagi sumber dalaman Umno yang berpihak kepada kem Zahid berkata, kumpulan yang menyokong Umno 3.0 juga mungkin akan menyingkirkan timbalan presiden Mohamad Hasan kerana beliau merupakan calon pengganti sekiranya Zahid bukan lagi presiden parti itu.

“Mereka akan cuba menyingkirkan beliau juga,” katanya.

“Matlamat akhir mereka ialah untuk menguasai Umno dan menyokong PPBM. Tetapi apakah itu yang Umno mahu?,” soalnya.

Zahid terpalit dengan kontroversi baharu membabitkan rakaman audio tular yang didakwa merupakan perbualan telefon antara beliau dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin itu menafikan berbual selepas Perhimpunan Agung Umno bulan lepas, dengan Zahid menyifatkan rakaman tersebut sebagai muslihat jahat untuk menjatuhkan Umno.

Zahid dan Najib juga berdepan ketidaktentuan dalam masa depan politik masing-masing.

Zahid berdepan 47 tuduhan rasuah dan pengubahan wang berjumlah berjuta-juta ringgit berkait yayasan kebajikan miliknya, iaitu Yayasan Akalbudi. Perbicaraan kes sedang berjalan.

Dalam pada itu, Najib kini membuat rayuan terhadap sabitan hukuman 12 tahun penjara dan denda berjumlah RM210 juta dalam kes rasuah membabitkan SRC International.

Selain itu, beliau juga berdepan beberapa tuduhan lain berkait 1MDB.

Terdahulu minggu ini, beliau diserahkan notis kebankrapan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkait cukai sebanyak RM1.7 bilion, yang dikatakan merupakan tunggakan cukai dari 2011 hingga 2017. FMT

Najib tidak mahu komen kenyataan Annuar Musa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker