PN takut pengundi muda tak sokong punca halang Undi 18?


KUALA LUMPUR – Perlaksanaan Undi 18 perlu disegerakan setelah banyak negara di dunia telah mengamalkannya termasuk Indonesia yang menetapkan umur layak mengundi ialah 17 tahun.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata,, kerajaan hari ini sepatutnya akur apabila pindaan Perlembagaan bagi Undi 18 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat secara bipartisan atau sebulat suara pada 16 Julai 2019 serta di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dan ia bermakna termasuk mereka di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Pada Januari, 2020 kita telah mendapat pengiktirafan daripada United Nations melalui Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang telah bersetuju untuk menanggung sebahagian kos di dalam mengimplitasi Undi 18 ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu telah memberi timeline (garis masa) untuk merealisasi Undi 18 ini pada 1 Julai 2021, dengan mengambil masa selama dua tahun untuk mereka menyediakan infrastrukturnya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Timeline ini disokong oleh menteri-menteri PN seperti Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin, Datuk Liew Vui Keong dan ramai lagi menteri-menteri PN ketika itu. Sekarang apa jadi? Hampir kesemua menteri PN telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zahida, Pengerusi SPR pada akhir-akhir ini telah menyatakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini, Undi 18 tidak dapat dilaksanakan seperti yang telah dijadualkan iaitu 1 Julai 2021.

“Mengapa? Adakah mereka takut 7.8 juta pengundi-pengundi muda ini tidak memihakkan kepada mereka? Begitulah licik tindakan kerajaan PN sekarang yang akan berbuat apa sahaja yang boleh memihakkan kepada mereka,” ujarnya.

Menurut Zahida, dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini beliau telah menegaskan parti mendokong perubahan yang berlaku bagi meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakkan masa depan negara.

“Ini termasuk Undi 18 dan pendaftaran automatik untuk mereka. Tidak ada pandang belakang atas keputusan yang telah dibuat. Sepatutnya tidak ada alasan untuk melengahkan perlaksanaanya. Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan segera melaksanakan langkah drastik untuk mematangkan mereka dalam tempoh yang terdekat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya lagi.

Zahida juga berjanji akan terus berjuang untuk memastikan hak pengundi muda dalam menentukan siapa kerajaan yang layak mentadbir negara.

“Saya menyeru adik-adik pengundi Undi 18 ini agar bersama-sama saya mendesak kerajaan untuk menjayakan Undi 18 ini seperti yang dijadualkan iaitu 1 Julai 2021. Anak muda adalah penyambung kepimpinan negara,” tegasnya. MG

Undi 18 ditangguh sebab kerajaan percaya anak muda marah pada mereka

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker