Sindiket Macau Scam tipu RM11j ditumpaskan polis Perak

Polis Perak berjaya menumpaskan satu sindiket Macau Scam yang terlibat dalam 76 kes penipuan sejak dua tahun selepas menyerbu sebuah kondominium di Sri Petaling, Kuala Lumpur, bulan lepas.

Kegiatan sindiket itu menyebabkan kerugian RM11 juta.

Pemangku Ketua Polis Perak Goh Boon Keng berkata lebih membanggakan, kumpulan yang berjaya ditumpaskan itu adalah yang pertama melibatkan sindiket berpangkalan di Malaysia dan menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa.

“Polis percaya sindiket sebelum ini melakukan penipuan di negara luar, tetapi balik ke Malaysia disebabkan Covid-19 dan oleh kerana perintah kawalan pergerakan mereka tidak boleh keluar negara.

“Ini kali pertama polis menumpaskan Macau Scam yang mempunyai pusat panggilan di Malaysia dan menipu mangsa di negara ini. Sebelum ini, mereka mempunyai pusat panggilan di Malaysia tetapi menyasarkan mangsa di luar negara atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.

Menjelas lanjut, Goh yang juga Timbalan Ketua Polis Perak berkata serbuan ke atas kondominium yang dijadikan pusat panggilan pada kira-kira pukul 5 petang Jumaat lepas itu merupakan operasi khas bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Perak dengan JSJK Bukit Aman hasil risikan selama seminggu.

Goh berkata risikan itu dibuat susulan satu laporan polis oleh seorang wanita di Bandar Cyber di Ipoh pada 19 Okt yang mendakwa kerugian RM67,000 selepas dihubungi individu menyamar sebagai ‘Insp Leong’ kononnya dari IPK Sabah dengan mendakwa dia terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram berjumlah RM148,000.

“Risau dengan ugutan bakal ditangkap dan semua wang dalam akaun bank akan dibekukan menyebabkan wanita itu mengikut arahan suspek dan membuat dua kali pindahan wang, masing-masing sebanyak RM43,000 dan RM24,000 sebelum mengesyaki ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.

Goh berkata semasa serbuan, polis berjaya menahan 22 warganegara Malaysia termasuk empat wanita berumur antara 18 dan 27 tahun, selain merampas pelbagai peralatan iaitu 34 telefon bimbit, komputer riba dan kereta.

“Selain itu, polis turut menemukan skrip dalam bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Ini menunjukkan ahli sindiket terlatih kerana dibekalkan dengan skrip yang digunakan untuk meyakinkan mangsa,” katanya.

Goh berkata, polis hari ini akan memohon perintah reman lanjutan ke atas semua 22 suspek selepas tempohnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita menasihatkan masyarakat supaya jangan ikuti arahan (sindiket). Masyarakat perlu tahu tiada tindakan undang-undang akan dimaklumkan menerusi panggilan telefon kecuali menerusi surat berdaftar dan polis juga tidak akan meminta orang awam pindahkan duit dari akaun mereka ke akaun lain,” katanya.
Bernama

Pusat jualan alat telekomunasi jadi markas Addy Kanna, Alvin Goh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker