Premis sarung tangan tanpa permit diserbu

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyerbu sebuah premis milik sebuah syarikat disyaki menjalankan kegiatan jual beli sarung tangan getah yang ditolak (rejected) tanpa permit sah, di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, kelmarin.

Menurut LGM dalam satu kenyataan, syarikat terbabit dipercayai aktif membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah ditolak serta mengeksport sarung tangan getah, tanpa permit dan lesen sah sejak Julai tahun lalu.

Katanya, serbuan itu dijalankan pasukan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM Pahang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub dengan dibantu Polis Daerah Bentong, Pahang.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 380 kotak berisi sarung tangan getah, 887 plastik berisi sarung tangan getah ditolak dan 619 plastik berisi sarung tangan getah sekerap, dirampas.

“Sembilan guni jumbo berisi sarung tangan getah ditolak, pelbagai dokumen dan peralatan turut dirampas.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM280,000,” katanya.

Nak tular sangat…

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan diambil ke atas syarikat terbabit mengikut Peraturan 22 (1)(b) dan Peraturan 3 (1)(c) Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.

“Jika sabit kesalahan mengikut Peraturan 22 (1)(b), syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika sabit kesalahan mengikut Peraturan 3(1)(c) pula, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mengikut peraturan ditetapkan, syarikat yang mahu menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah ditolak serta sarung tangan getah sekerap, perlu ada permit PST-G dikeluarkan LGM, dan lesen untuk mengeksport sarung tangan getah.

Menurut kenyataan itu, LGM sentiasa prihatin dan amat menitikberatkan kualiti sarung tangan getah keluaran tempatan.

Ini berikutan industri sarung tangan getah adalah salah satu penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport barangan getah negara.

“Pihak LGM juga akan berterusan memantau dan mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah yang beroperasi, untuk memastikan kualiti sarung tangan getah dihasilkan adalah berkualiti tinggi serta terjamin.

“Sebarang aduan berkaitan industri getah boleh disalurkan melalui talian 017-291 5888,” katanya.

KPDNHEP Raub dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa 26 pekerja warga Myanmar termasuk empat wanita, dan seorang lelaki tempatan dipercayai bekerja di premis dua tingkat itu, ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu.

Katanya, serbuan diketuai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP daerah, Mohd Faizul Salleh, dilakukan hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu oleh KPDNHEP Raub.

“Ketika serbuan, ada sejumlah sarung tangan getah tanpa jenama yang belum dibungkus dan masih dalam bentuk ceraian, berada di dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui sejumlah sarung tangan getah sudah siap dibungkus dalam kotak yang sedia untuk dipasarkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak terbabit disyaki menggunakan premis berkenaan sebagai tempat memproses dan membungkus semula sarung tangan getah yang ditolak sebelum mengedarkannya ke pasaran.

Katanya, siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan akan dilakukan oleh LGM.

Kesemua pekerja warga asing dan lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan itu pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kerjasama gabungan politik pada PRU15, CWC MIC tentukan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker