Selepas digeruni di daratan, penjenayah lautan pula diburu Ayob Khan


SEBELUM ini, nama Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay agak terkenal dalam kalangan rakyat dan juga penjenayah di Johor kerana kekerasannya menjalankan aktiviti membanteras jenayah di negeri itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor itu kini bukan sahaja menjalankan tanggungjawabnya untuk melindungi keselamatan rakyat tetapi juga memastikan kaum nelayan di negeri itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Hari ini, beliau mengadakan program perbincangan ‘town hall’ (dialog awam) dengan para nelayan di Batu Pahat, Pontian dan Muar bagi mencari penyelesaian mengenai masalah-masalah yang timbul, terutama berkaitan penguatkuasaan di perairan kawasan tersebut.

Sesi di Institut Pendidikan Guru, Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor itu dan turut disiarkan di laman Facebook Polis Johor dihadiri juga oleh wakil Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Orang Asli dan Persatuan Nelayan kawasan tersebut.



Pelbagai isu dibincangkan berkaitan pencerobohan oleh nelayan asing, bot nelayan tempatan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan, bot pukat tunda, nelayan tanpa lesen, masalah dadah, penyeludupan dan sebagainya.

Mengenai permasalahan dan isu-isu yang di bawah bidang kuasa polis, Ayob Khan berjanji akan mengambil tindakan segera dan akan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan bagi masalah di bawah bidang kuasa agensi lain seperti Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasan Maritin Malaysia (APMM).

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan untuk menyusun semula aktiviti rondaan bersama terutama ketika waktu malam hingga pagi iaitu waktu di mana banyak aduan mengenai jenayah perairan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, masalah kekurangan aset dan tenaga kerja dalam kalangan agensi-agensi penguatkuasaan untuk meronda di sepanjang waktu boleh diatasi jika mereka mengadakan kerjasama bersama.



“Perkara ini bukan tidak pernah dilakukan. Kita telah melakukannya dalam Op Benteng yang turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia serta pelbagai agensi-agensi lain dan telah mencatatkan kejayaan,” katanya.

Ayob Khan seterusnya meminta masyarakat agar sentiasa membuat aduan mengenai sebarang masalah jenayah yang berlaku di kawasan mereka, termasuk jika terdapat para pegawai atau anggota polis yang bersekongkol dengan penjenayah.

Beliau berkata, pihak polis sangat bergantung kepada masyarakat sama ada pemimpin atau rakyat dalam membantu membanteras jenayah kerana polis tidak boleh berada di semua tempat pada setiap masa..

“Kami juga tidak sempura, ada kekurangan. Bagaimanapun, jika ada maklumat mengenai pegawai atau anggota polis yang bersekongkol dengan penjenayah seperti isu dadah dan sebagainya, sila buat aduan terus kepada saya.



“Saya akan pastikan tindakan tegas diambil kerana di Johor, pegawai dan anggota polis yang paling banyak ditangkap dan sehingga kini seramai 46 orang telah dibuang,” katanya.

Katanya, walaupun semua masalah yang diadukan oleh nelayan dan masyarakat mungkin tidak dapat diselesaikan segera tetapi sekurang-kurangnya majlis pada hari ini diyakini akan memberi sedikit impak dari segi tindakan. Utv

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker