Saintis percaya ada planet asing dalam Bumi


LOS ANGELES, California – Saintis-saintis di Amerika Syarikat percaya serpihan planet asing dinamakan Theia terkubur di dalam perut Bumi selepas dua planet tersebut berlanggar 4.5 bilion tahun lalu, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Sebilangan saintis berpendapat impak sama di angkasa lepas telah membentuk Bulan. Bagaimanapun, mereka kini mengkaji serpihan akibat pelanggaran itu yang dipercayai tertanam di dalam kerak Bumi.

Pakar geologi Universiti Negeri Arizona, Qian Yuan berpendapat, tompok-tompok padat di dalam perut Bumi yang dianggap misteri merupakan serpihan Planet Theia yang masih terpasak kukuh di dalam bumi.

“Mantel planet Theia mungkin beberapa peratus lebih padat daripada mantel Bumi.

“Keadaan itu mengakibatkan ia tenggelam ke lapisan paling bawah Bumi dan terkumpul di dalam timbunan termokimia,” katanya pada Persidangan Sains Planet dan Bulan yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Mantel merujuk kepada lapisan di antara kerak dan teras luaran Bumi

Timbunan termokimia itu boleh menyebabkan seismik iaitu aktiviti batuan bawah tanah yang menyebabkan kejadian seperti gempa dan letusan gunung berapi di kawasan tompokan tersebut.

Saintis-saintis juga mengenal pasti kawasan spesifik di dalam di mana serpihan Theia tersimpan.

Teori pertembungan Planet Theia dan Bumi dikenali sebagai hipotesis impak gergasi.

Menurutnya, Theia telah berlanggar dengan Bumi sekitar 4.5 bilion tahun lalu dan sebilangan saintis berpegang kepada teori tersebut kerana ia dapat menjelaskan kewujudan Bulan dan mengapa teras planet kita lebih besar berbanding saiz Bumi sendiri.

Saintis turut percaya material Theia yang padat dapat bertahan selama berbilion -bilion tahun. – Agensi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker