Jika PAS fikir PPBM lebih ‘lawa’, ‘kaya’, silakan, Umno sedia tanding solo, kata Tajuddin — MYKMU.NET

Jika PAS fikir PPBM lebih ‘lawa’, ‘kaya’, silakan, Umno sedia tanding solo, kata Tajuddin



Sebaran :

Umno sedia bertanding ‘solo’ tanpa PAS pada PRU15, jika parti itu mendapati PPBM lebih “lawa” dan “kaya,” kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian sehari selepas PAS-PPBM mengeluarkan kenyataan bersama, mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa pusat untuk memuktamadkan pengagihan kerusi antara dua parti itu pada PRU15.

Tajuddin enggan menyatakan sama ada kenyataan bersama itu boleh dianggap PAS memilih PPBM dan bukan Umno sebagai sekutunya pada PRU15, namun menegaskan Umno bersedia untuk apa jua kemungkinan.



“Kalau kita bersama PAS, walaupun belum ‘final’ (muktamad), Umno akan tanding sekurangnya 96 kerusi. Itu kalau bersama PAS. Kalau PAS suka bersama PPBM, dia tengok PPBM lagi lawa, kaya dia, (dan) kata Umno miskin, tak apa, miskinlah,” kata Tajuddin.

“Kita akan terus dengan semangat perjuangan. Kita akan tanding solo, tanpa PAS. Kalau PAS kata tak nak bersama kita, kita akan bertanding minimum 120 kerusi,” katanya dalam wawancara khas FMT.

Umno dan PAS sebelum ini menjadi sekutu menerusi penubuhan Muafakat Nasional yang menjadi teras kerjasama politik antara dua parti Melayu terbesar yang sering bermusuhan.



Bagaimanapun, hubungan baik antara dua parti itu yang terjalin menerusi MN, mula bergolak susulan tindakan PAS menjadi rakan utama PPBM dalam Perikatan Nasional. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pengerusi PN dan presiden PPBM.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung minggu lalu, parti itu memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dalam menghadapi PRU15. Beberapa pemimpin kanan Umno juga mahukan PAS memilih antara Umno dan PPBM sebagai sekutunya pada pilihan raya umum nanti.

Tajuddin beritahu FMT, Umno tetap mahu bertanding di semua kerusi tradisinya, termasuk kerusi yang disandang oleh mereka yang menang atas tiket Umno sebelum lompat ke PPBM.



Jika ada perubahan dalam jumlah kerusi yang bakal ditandingi Umno, ia hanya tertakluk kepada perbincangan dengan PAS, kata beliau.

“Semua kerusi yang kerusi Umno kita akan dapatkan balik. Kita yakin boleh menang. Dengan PPBM, kita tak ada nak bincang kerusi. Sekarang hanya (tinggal soal) dengan PAS,” kata Tajuddin.-FMT


Sebaran :


Leave a Reply