Sekolah menengah bermula minggu depan, selamatkah anak kita daripada Covid-19?


Pelajar sekolah tingkatan lima memakai pelitup muka hadir bagi menjalani sesi persekolahan pada hari pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 JANUARI 2021.
UMUM mengetahui bahawa sekolah menengah akan dibuka pada minggu hadapan. Bagi yang tinggal di asrama, mereka perlu pulang ke asrama seawal 3 April 2021. Setelah hampir lima bulan berada di rumah, pastinya anak-anak sudah tidak sabar untuk berjumpa guru-guru dan rakan-rakan.Sebaliknya, ibu bapa mula risaukan keselamatan anak-anak di sekolah dan juga di asrama.

Daripada 1 Januari sehingga 25 Mac 2021, dilaporkan bahawa terdapat sebanyak 11 kluster Covid-19 di sekolah menengah dan 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah.

Bilangan ini agak kecil jika dibandingkan dengan jumlah sekolah di seluruh negara. Namun, usaha-usaha pencegahan perlu diteruskan malah diperhebatkan supaya anak-anak terus dapat bersekolah hingga ke hujung tahun.

Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak tentang bahaya Covid-19. Di samping membekalkan hand sanitizer dan pelitup muka secukupnya, mereka perlu memastikan anak-anak faham tentang jangkitan Covid-19 dan cara pencegahannya. Ini kerana kefahaman akan mempengaruhi amalan seseorang.

Untuk mengurangkan risiko bersesak di sekolah, ibu bapa disarankan untuk menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada anak-anak. Bagi mereka yang berkemampuan dan mempunyai masa, pilih untuk menghantar dan menjemput sendiri anak dari sekolah.

Peringatan demi peringatan perlu diberikan setiap hari supaya anak-anak tidak alpa dan leka.

Di sekolah, guru-guru bukan saja perlu memastikan pelajar mematuhi SOP, tetapi mereka juga perlu menunjukan teladan yang baik. Guru-guru juga perlu sentiasa memakai pelitup muka apabila berada berhampiran antara satu sama lain. Pekerja kantin, pengawal keselamatan, pengusaha kedai buku, tukang kebun dan pekerja pembersihan perlu turut sentiasa mengamalkan SOP.

Bagi sekolah-sekolah berasrama, disarankan supaya mengurangkan kekerapan pulang bermalam. Bagi sekolah-sekolah ini, guru-guru dan kakitangan yang sentiasa keluar masuk kawasan sekolah membawa risiko jangkitan dari luar kepada pelajar-pelajar di asrama yang hanya bercampur sesama mereka. Pentadbiran sekolah hendaklah memastikan semua mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan dengan sempurna.

Di surau-surau sekolah, SOP yang telah dikeluarkan bagi rumah-rumah ibadat perlu diikuti terutamanya membawa sejadah sendiri dan penjarakan fizikal ketika solat, terutamanya ketika solat berjemaah yang disertai oleh guru dan kakitangan yang bebas keluar masuk kawasan sekolah dan asrama.

Mereka yang menggunakan surau ini dikehendaki mengimbas kod QR untuk melakukan pendaftaran ketika memasuki surau sekolah. Pada bulan Ramadan ini juga, digalakkan memperbanyakkan ibadat terutamanya ibadat sunat termasuk membaca al-Quran dan solat Tarawih. Namun, amalan seperti berbuka puasa dengan makan bersama-sama menggunakan talam ataupun berkongsi bekas hendaklah dielakkan.

Di sekitar sekolah dan asrama, kawasan-kawasan yang kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu/kipas, pintu pagar dan rel tangga perlu sentiasa dibasmi kuman. Pembasmian di kawasan awam boleh dilakukan oleh pekerja pembersihan, manakala pelajar boleh melakukan pembasmian di dalam kelas. Walaubagaimanapun, cecair pembasmi kuman perlu disediakan dan dibancuh oleh orang dewasa.

Langkah-langkah pencegahan asas seperti menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dapat menghalang penularan jangkitan Covid-19. Selain itu, guru-guru dan kakitangan sekolah patut diberikan keutamaan dalam senarai penerima vaksin kerana risiko jangkitan dan risiko menjangkitkan kepada ramai orang yang tinggi. Dengan penerimaan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru-guru dan kakitangan sekolah, sedikit sebanyak dapat meredakan kebimbangan ibubapa dan anggota masyarakat.

Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) &
Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker