AS akan rampas sarung tangan Top Glove


Amerika Syarikat (AS) akan merampas produk syarikat Malaysia, Top Glove selepas merumuskan Top Glove menggunakan buruh paksa, kata beberapa pegawai sekali gus tamparan baharu kepada pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar dunia itu.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) mengharamkan sarung tangan keluaran dua anak syarikat Top Glove tahun lalu selepas mengesyaki kedua-dua firma tersebut menganiaya pekerja.

Namun, CBP mengambil langkah lebih serius semalam dengan mengumumkan pihaknya mempunyai ‘bukti mencukupi’ untuk merumuskan bahawa Top Glove menggunakan buruh paksa. Justeru, agensi persekutuan itu akan merampas mana-mana sarung tangan yang dikilangkan oleh Top Glove di pelabuhan-pelabuhan masuk di AS.

“CBP tidak akan bertoleransi dengan perbuatan syarikat asing ‘mengeksploitasi pekerja untuk menjual barangan murah dan tidak beretika kepada pengguna Amerika,” kata pegawai kanan CBP, Troy Miller.

Menurut CBP, langkah tersebut tidak akan memberi impak besar terhadap import sarung tangan pakai buang yang penting dalam usaha memerangi wabak koronavirus di AS.

Dalam pada itu, saham Top Glove merudum lebih lima peratus susulan berita tersebut.

Ketika mengumumkan larangan pertama tahun lalu, CBP menyatakan bahawa ia percaya terdapat bukti ikatan hutang, kerja lebih masa melampau dan penganiayaan dalam persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal dalam proses pengeluaran Top Glove.

Syarikat Malaysia itu memberitahu hari ini bahawa ia akan cuba menyelesaikan isu tersebut dengan pihak berkuasa AS. AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker