Buruh sawit didakwa rogol adik ipar 11 tahun

Sebaran :


Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, dengan dua pertuduhan merogol dan mencabul adik iparnya yang berusia 11 tahun dalam kejadian September tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh,19, yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa merogol adik ipar yang berusia 11 tahun yang perhubungan dengan kanak-kanak perempuan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.



Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Ia dilakukannya di sebuah rumah di Kampung Kubang Kerian, Lata Rek dekat Kuala Krai kira-kira jam 8 pagi pada 2 dan 6 September 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Amir Shariffuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sharifah Amirda memohon tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.



Tertuduh dalam rayuannya merayu agar mahkamah menawarkan jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Namun Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan tarikh 28 April depan ditetapkan bagi sebutan semula kes. Mk


Sebaran :

Leave a Reply