Tak sempat bertunang, rumah musnah terbakar


BATU PAHAT: Sebuah rumah musnah terbakar kira-kira sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong.

Saksi kejadian yang juga jurugambar majlis berkenaan, Izzat Syafaat Ismail, 29, berkata kebakaran berlaku kira-kira 1.20 petang, manakala majlis pertunangan sepatutnya berlangsung 2.30 petang.

Ketika itu, katanya, beliau sedang bersiap-siap untuk melakukan tugasan mengambil gambar, tetapi dikejutkan dengan api marak yang membakar rumah tersebut.

“Keadaan menjadi kelam-kabut sehinggakan ahli keluarga pasangan itu tidak sempat menyelamatkan barang hantaran pertunangan, termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen penting di dalam rumah.



“Ada di antara ahli keluarga yang pengsan dan cedera melecur kerana nekad mahu menyelamatkan kenderaan berhampiran, selain cedera kerana terpijak kaca,” katanya ketika dihubungi.

Izzat berkata, kebakaran dipercayai akibat litar pintas di bahagian dalam rumah itu menyebabkan api merebak pantas berikutan struktur rumah separa batu dan kayu.

Katanya, ketika kejadian, dianggarkan 100 tetamu berada di rumah berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua mangsa sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, kebakaran memusnahkan hampir 80% rumah tersebut serta sebuah motosikal.



“Seramai 22 anggota bomba berserta tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.18 petang.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 3.34 petang.” FMT

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker