Tak perlu dua darjat, saya akan bayar saman secara sukarela – Najib
Najib Razak mengakui membuat kesilapan semasa mengunjungi sebuah kedai nasi ayam di Kuala Lumpur dengan tidak mendaftar nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera
“Saya menerima baik kritikan dan pandangan. Ya benar. Saya makan di Kedai Nasi Ayam Chee Meng. Kedai ini popular di KL. Ramai yang beragama Islam makan di sini juga.
“Aturan dibuat dan saya dibawa masuk ke kedai terus setibanya di sana. Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian.
“Kebiasaannya, saya mematuhi segala SOP yang telah dikuatkuasakan dalam aktiviti atau pergerakan saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, Najib meminta pihak berkuasa supaya mengeluarkan saman terhadap dirinya atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.
“Kompaun untuk tidak scan (imbas) MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri Perikatan Nasional.
“Saya bayar sebelum tempoh tujuh hari untuk dapat early bird diskaun 50 peratus iaitu denda RM750. Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela.
“Tidak ada double standards dalam istilah saya. Orang lain, parti lain, menteri-menteri saya tak tahu lah. Mereka ada dua darjat itu hal mereka. Saya tidak mahu ada dua darjat bagi kes saya,” katanya.
Najib juga memaklumkan bahawa dirinya masih mengulangi ujian Covid-19 kerap kali dan setakat ini semuanya negatif.
Sebelum ini, tular di media sosial dengan pengkritik bekas perdana menteri itu membidasnya yang tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengimbas aplikasi MySejahtera.
Selain itu terdapat juga warga maya yang mempertikaikan tindakan Najib yang terus menikmati pengawal pengiring daripada pihak kerajaan.
“Oh ye. Seperkara lagi, saya ditanya mengenai pengawal pengiring saya.
“Ya. Pemberian semula ini adalah mengikut ketetapan sebagaimana yang disediakan untuk bekas Perdana Menteri dan diberi balik kerajaan PN beberapa bulan dahulu.
“Tidak lebih, tidak kurang, tiada layanan istimewa. Tanya PM7/PM7i. Dia pun dapat,” katanya sinis merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad. Mk
Jalan berlubang: Antara dua darjat
You must be logged in to post a comment.