4 polis antara 14 ditahan memburu secara haram

KOTA KINABALU: Polis menahan 14 individu termasuk empat pegawai dan anggotanya selepas disyaki terbabit aktiviti memburu secara haram di kem pembalakan Vivadaya, kawasan hutan simpan Sapulut, Kalabakan, Tawau, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali berkata, semua individu terbabit ditahan pada 12.44 tengah hari dalam serbuan dilakukan oleh pasukan khas SFD Protect Jabatan Perhutanan Sabah bersama kumpulan Danum Maliau Imbak.

Katanya, dalam serbuan itu beberapa senjata api dan sejumlah bangkai haiwan bersama lima pacuan empat roda turut dirampas.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui bangkai haiwan yang sudah dipotong beberapa bahagian termasuk daging rusa dan daging babi disyaki hasil aktiviti memburu secara haram.

“Semua individu terbabit ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis atas permintaan Jabatan Hidupan Liar (JHL) selepas keterangan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan secara telus terhadap pegawai serta anggotanya yang terbabit dalam aktiviti itu.

“Ketika ini polis masih menunggu laporan penuh siasatan pihak JHL Sabah. Justeru tiada sebarang unsur campur tangan dalam siasatan ini memandangkan ia disiasat sepenuhnya oleh JHL dan dibantu polis serta Jabatan Perhutanan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya menghentikan segala bentuk penyebaran berita palsu dan spekulasi yang boleh mencemarkan nama baik polis Sabah.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebar berita palsu bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah) serta Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker