Susah jika tujuan Anwar semata-mata untuk jadi PM – Isham Jalil
Kerjasama UMNO adalah terbuka kepada sesiapa sahaja, asalkan mereka ikhlas serta jujur selain untuk menentang dan menolak pengkhianat, tegas Isham Jalil.
Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor itu berkata, kerjasama itu juga bergantung kepada penerimaan akar umbi dan pucuk pimpinan UMNO sendiri.
Isham berkata, beliau yakin dan percaya akar umbi UMNO tidak akan terima kerjasama seperti itu dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, semata-mata kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu ingin jadi Perdana Menteri.
“Dan seperti biasa, apabila habis madu, sepah akan dibuang. Kita tidak boleh lagi terima kerjasama “scheme of things”. UMNO tidak boleh dipergunakan sebegini rupa,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya pada Selasa.
Terdahulu, timbul desas-desus Anwar akan mengumumkan perkembangan mengenai hubungan antara dua parti itu dalam satu sidang media petang ini.
Bagaimanapun, dalam sidang media berkenaan, Anwar mengakui ada perbincangan antara pimpinan parti berkenaan, namun berkata, perkara itu masih di peringkat ‘awal’.
Mengulas lanjut, Isham berkata, Jika Anwar ikhlas untuk bekerjasama dengan UMNO, maka beliau perlu terima hakikat bahawa UMNO tidak boleh dipaksa untuk terimanya sebagai Perdana Menteri.
“Sebelum ini kita telah cuba selama 22 bulan bersama Perdana Menteri PH dan 12 bulan bersama Perdana Menteri PN, atau 34 bulan bersama Perdana Menteri PPBM, dan ianya telah gagal untuk membawa kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Perdana Menteri PKR (PH) tidak akan merubah keadaan ini. Oleh itu, jika Anwar ingin bekerjasama dengan UMNO, dia tidak boleh jadi Perdana Menteri,” tegasnya lagi.
Isham berkata, beliau tegas dalam pandangan bahawa Perdana Menteri perlu datang dari parti yang paling besar dengan akar umbi Melayu Islam yang paling ramai, iaitu UMNO.
Perkara itu, jelasnya lagi, kerana Malaysia masih lagi majoriti Melayu dengan kumpulan terbesarnya umat Islam dan selama ini UMNO yang berterusan banyak memperjuangkan kumpulan ini tanpa meminggirkan atau mengenepikan hak-hak kaum-kaum lain.
“Ini amat penting untuk kestabilan politik justeru kestabilan ekonomi dan sosial negara,” katanya lagi.
Lebih gentleman Muhyiddin letak jawatan dulu, kata Isham Jalil
You must be logged in to post a comment.