Kerajaan tak tolak laksana semula GST


Kerajaan sedang meneliti pelbagai langkah untuk memperluas asas pendapatannya, dan tidak menolak cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan kembali dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah tersebut.

Bercakap pada perbincangan anjuran Kumpulan Bank Dunia, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Zakiah Jaafar berkata kerajaan sedang mengkaji pembaharuan cukai ketika wabak menular Mac lalu.

“Sekiranya anda bertanya sama ada GST akan dilaksanakan semula, ia sebahagian daripada eksesais lebih besar yang sedang kami usahakan; untuk mengkaji cara terbaik meluaskan asas hasil kita,” katanya.

“Kami sedang mengkaji semula struktur cukai yang ada dan kemungkinan mengenakan cukai tetapi apa yang pasti kami sangat peka dengan waktunya dan akan menunggu sehingga ekonomi stabil sebelum sebarang perubahan dilakukan,” tambahnya.

Dalam laporan dasar terbaharunya, Bank Dunia berkata memperluas asas hasil kerajaan faktor utama yang akan membantu membiayai peralihan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

GST 6% diperkenalkan pentadbiran Najib Razak pada 2015 untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, tetapi dihapuskan pentadbiran Pakatan Harapan yang berkuasa pada 2018.

Pada forum sama, Pengarah Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Rebecca Fatima Sta Maria, berkata kerajaan sudah mempunyai akses kepada penyelidikan dan pangkalan maklumat.

“Semua data dan maklumat sudah ada. Kita mempunyai sejumlah Rancangan Malaysia, serta model ekonomi baru pada 2009, yang menghimpunan pemikir terbaik di negara ini untuk merangka tindakan bagi membawa Malaysia ke tahap seterusnya.

“Laksanakan sahaja. Kita hanya perlu gunakan maklumat dan data yang kita ada, lihat semula dasar kita, dan meneruskannya,” katanya.

Tambahnya, dengan semua cadangan sedia ada, tidak perlu untuk buat semula kerana banyak pilihan dasar yang disusun oleh berbagai institusi. FMT

https://mykmu.net/2018/03/24/janji-mansuh-gst-world-bank-pun-pening/

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker