Anwar nafi ada perjanjian kerjasama dengan Umno, hanya perbincangan awal

Sebaran :


Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan sudah ada perjanjian kerjasama antara PKR dengan Umno sebagaimana tanggapan sesetengah pihak.

“Apa yang saya katakan adalah ada perbincangan awal antara pimpinan PKR dengan pimpinan Umno.

“Jangan kata seolah-olah sudah ada perjanjian,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam sidang media hari ini.

Pada masa sama, Anwar mengakui ada menyatakan ‘kemungkinan akan berlaku kerjasama dengan Umno’, namun tetap menegaskan bahawa ianya terlalu awal untuk dibicarakan.



Beliau menjelaskan bahawa perjumpaan dengan pemimpin BN berlangsung secara tidak formal dan ianya hanyalah pertemuan biasa seperti yang dilakukannya sebelum ini bersama pemimpin lain.

Beliau turut mengingatkan untuk tidak membuat andaian seolah-olah telah wujud satu persefahaman dan kerjasama bersama Umno.

“Saya sebut perbincangan, bukan kerjasama. Ini (pertemuan) bukan formal. (Saya) jumpa pemimpin BN, saya jumpa dengan semua orang. Dengan Tun Mahathir pun dulu saya jumpa berbincang. Kenapa tak boleh saya jumpa (pemimpin BN)?

“Ini yang saya jelaskan kepada Ahli Parlimen dan pimpinan PKR. Jangan mengandaikan hal ini seolah-olah ada satu persefahaman,” katanya lagi.



Terdahulu, Anwar dilaporkan berkemungkinan menjalin kerjasama dengan seterunya Umno selepas Ketua Pembangkang itu mengatakan adanya perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti.

Menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia terbitan Ahad, Anwar berkata perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

Kenyataannya itu kemudiannya menimbulkan tanggapan bahawa PKR sudah pun menyatakan kerjasamanya dengan Umno.


Sebaran :

Leave a Reply