Saifuddin belum terima surat tuntutan RM10 juta daripada PKR

Bekas pemimpin PKR yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah masih belum menerima surat tuntutan RM10 juta daripada parti itu.

Katanya, buat masa ini beliau mengambil pendekatan menunggu sehingga surat itu sampai sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

“Nanti apabila sampai, peguam saya akan tengok dan sudah tentu kami akan berbincang bagaimana hendak menangani isu ini,” katanya kepada pemberita.

Saifuddin yang juga menteri komunikasi dan multimedia mengulas laporan media Rabu lalu yang memetik kenyataan Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung bahawa parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan Adun PKR yang keluar parti agar membayar pampasan RM10 juta kepada parti.



Lee turut dilaporkan berkata mereka yang disenaraikan perlu membayarnya dalam tempoh 7 hari dan jika gagal, parti akan mengarahkan peguam untuk meneruskan prosiding bersesuaian bagi mendapatkan pampasan itu.

Mengulas perkembangan lain, Saifuddin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Adun Pahang daripada DAP yang memulakan prosiding mahkamah berhubung ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan.

Beliau berpandangan walaupun setiap individu mempunyai hak untuk ke mahkamah, tindakan memulakan prosiding tersebut tidak kena pada tempatnya.

“Mereka harus faham tentang kedudukan tulisan Jawi di tanah air dan kedua, mereka juga harus faham mengapa tulisan Jawi ingin dihidupkan kembali…iaitu untuk dipopularkan kegunaannya di tempat awam,” katanya.



Semalam, sebuah laman berita melaporkan Adun Tras Chow Yu Hui menerusi peguamnya M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu dengan menamakan Majlis Daerah Raub sebagai responden pertama manakala kerajaan Pahang dinamakan sebagai responden kedua.

Kerajaan Pahang mewajibkan pengunaan tulisan Jawi bermula 1 Jan lalu, selari dengan titah Sultan Pahang pada 13 Nov 2018 yang mahu tulisan itu diperkasakan dan dibudayakan semula. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker