PKR, Jangan Tikam Belakang! – Amanah
Amanah menuntut agar PKR tidak bersikap hipokrit dan lidah bercadang semasa menguruskan isu wakil rakyat melompat parti dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH).
Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata amalan itu jika diterima jelas menguntung satu pihak saja dan pada masa sama merugikan parti lain.
“Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain.
“Politik tikam belakang ini usah dibudayakan.
“Sebagai rakan gabungan dalam PH, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh pada kemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isu wakil rakyat melompat parti kembali menjadi perhatian selepas tiga Adun Amanah Johor mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR.
Tiga Adun terbabit ialah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).
Tahun lalu dua Adun Amanah Selangor – Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) – turut mengambil langkah serupa.
AMK saran Salahuddin muhasabah diri, elak politik bermuka-muka
Calar semangat setia kawan
Shazni Munir berkata amalan membeli dan menjual wakil rakyat merupakan budaya bobrok yang hina lagi keji.
“Bahkan persundalan ini jugalah yang menyebabkan kerajaan PH runtuh dan merencatkan proses reformasi urus tadbir yang sedang berjalan ketika itu,” katanya.
Apa yang berlaku, katanya, bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam yang jelas menyebut bahawa parti berkenaan menolak tindakan lompat parti untuk melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.
“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan jugalah dilaporkan PKR telah menerima wakil rakyat yang melompat di Johor setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” katanya.
Sementara itu Amanah Bukit Bintang menggesa pemimpin parti itu mengkaji semula pendirian bekerjasama dengan PKR serta kedudukan mereka dalam PH.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Amanah Bukit Bintang berkata kajian semula itu perlu selepas PKR menerima lima Adun mereka termasuk dua di Selangor pada tahun lalu.
Menurut Amanah Bukit Bintang senario itu mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setia kawan antara parti dalam PH.
“Kami juga menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, menyesali tindakan parti rakan PH menerima Adun Amanah yang melompat.
“Tindakan ini melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk,” katanya.
Strategi politik parti PH, kata Amanah Bukit Bintang, sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas kecelaruan pengurusan kerajaan Perikatan Nasional keabsahannya belum dipastikan.
“Bukannya menzalimi rakan parti dalam pakatan ketika semua pihak mengadakan persiapan menghadapi PRU ke-15,” katanya