Apa dah jadi dengan laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara?



Sebaran :

 

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi meminta kemas kini daripada pihak berkuasa mengenai laporan polis yang dibuat terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya berhubung dakwaan mereka terlibat dalam skandal 1MDB.

Dalam catatan di Facebook, Puad mempersoalkan sekiranya wujud “konspirasi” untuk merahsiakan perkara itu dengan berkata, sudah dua bulan sejak laporan dibuat terhadap Zeti dan keluarganya.

Beliau juga bertanya mengapa kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan “menyembunyikan fakta” yang diakui oleh keluarga Zeti bahawa dana 1MDB dimasukkan ke akaun mereka melalui akuan berkanun (SD) pada 2019.



Puad juga menggesa Zeti menjawab laporan semalam yang mendakwa polis Singapura memberitahu BNM mengenai transaksi mencurigakan melibatkan syarikat milik suaminya dan anaknya, dengan dana yang berasal dari akaun dikaitkan dengan Low Taek Jho, atau Jho Low.

The Edge melaporkan berdasarkan dokumen yang dilihatnya, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) berkongsi maklumat dengan bank pusat itu pada 2015 dan 2016.

Zeti merupakan gabenor BNM ketika maklumat ini disampaikan kepadanya.



Ini melibatkan dana mencurigakan yang masuk ke dalam akaun bank milik Iron Rhapsody Ltd, yang dimiliki Tawfiq Ayman, dan seorang anak lelaki mereka yang tidak disebutkan namanya.

Pada Disember tahun lalu, Pemuda Umno membuat laporan terhadap Zeti dan keluarganya susulan dakwaan sebuah laman blog bahawa mereka menerima lebih RM100 juta daripada Low, termasuk dana 1MDB.

Menurut catatan tersebut, ahli keluarga Zeti didakwa membuat SD tersebut, yang menyaksikan mereka mengaku menerima dana daripada bank di Singapura, dan ia berasal daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Low.




Sebaran :


Leave a Reply