Kasih Manusia dan Kucing Berpisah Tiada, Bertemu Selepas Hilang Selama 15 tahun



Sebaran :

 

LOS ANGELES: PEMINAT kucing tentunya sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata apabila kucing tersayang yang hilang sejak kira-kira 15 tahun lalu kembali bersatu dengan tuannya.

Itulah yang terjadi pada seekor kucing dari jenis tabby bernama Brandy, yang disatukan semula dengan Charles, yang mengambilnya sebagai haiwan angkat semasa ia berusia 2 bulan, pada tahun 2005.

“Sangat luar biasa, saya tidak sangka semua ini terjadi.



“Saya mendekatinya, dan saya angkat. Dia membuat bunyi getaran nafas dan itu sangat emosional. Sungguh istimewa dapat memeluknya di tangan saya sekali lagi.

“Saya terus menangis kerana memikirkan tahun-tahun yang saya hilang tanpanya.” ujar Charles, seorang juruteknik komputer yang tidak berkongsi nama keluarganya.

Brandy dijumpai pada Ahad lalu di Palmdale, kira-kira 65 kilometer dari kediaman Charles di San Fernando Valley, Los Angeles.



Katanya, Brandy mula berjalan keluar sendirian beberapa bulan selepas ia dipelihara.

“Ia berjalan pada suatu petang di halaman belakang, dan ketika hari semakin gelap, saya mahu membawanya masuk namun Brandy sudah tiada,” imbas Charles.

Puas dia mencari di sekitar kawasan kejiranan, termasuk melekatkan notis di banyak tempat, namun tidak berhasil menemuinya.



“Saya sangat sedih. Kerana apabila saya mula mengambilnya dari pusat haiwan angkat itu, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya sepanjang hayat,” kata Charles yang pernah menyangka kucingnya itu telah dimakan coyote.

Sejak itu, Charles meneruskan hidup, berpindah rumah di kawasan yang sama dan telah memelihara dua kucing lain.

Pada Ahad lalu, dia tiba-tiba menerima panggilan daripada pusat perlindungan haiwan Palmdale yang menghasilkan cip mikro yang ditanam pada tubuh Brandy.



Meskipun telah berpindah, namun Charles masih mengekalkan nombor telefonnya.

“Saya sangat skeptikal. Saya rasa, mesti ada kesilapan. Hanya satu per sejuta peluang untuk mereka merujuk pada Brandy. Lagipun sudah 15 tahun. Sangat mustahil.

“Tapi saya terfikir semula, cip mikro takkan berbohong,” kata Charles.



Pada petang Isnin, Charles telah ke Palmdale untuk menentukan sama ada benar itu Brandy. Ia kelihatan tua dan kurus kerana kekurangan zat, katanya.

Kukunya juga panjang hingga boleh mencederakan tapak kakinya sendiri.

Charles mengagak, bahawa ada orang yang menemuinya sewaktu ia masih anak kucing lalu mengambilnya pulang, dan tidak pernah peduli untuk memeriksa sama ada terdapat cip mikro pada badannya.

Dia mengambil keputusan untuk tidak mencampurkan Brandy dengan dua kucingnya yang lain buat masa ini, sebaliknya meletakkan Brandy di rumah adiknya dahulu untuk dilawati selalu.

Tambah Charles: “Brandy kelihatan gembira kembali ke rumah ini semula.”


Sebaran :


Leave a Reply