China lapor 1,300 kes COVID-19 tanpa gejala

BEIJING: China hari ini merekodkan lebih 1,300 kes positif COVID-19 tetapi mangsa terbabit tidak menunjukkan sebarang gejala dikaitkan dengan serangan coronavirus baharu itu.

Ini kali pertama negara tembok besar itu mendedahkan data sedemikian berikutan kebimbangan orang awam terhadap individu yang diuji positif tetapi tiada gejala.

Pegawai kesihatan negara itu memaklumkan, kes import pertama di Wuhan iaitu pusat wabak itu dikesan akhir tahun lalu, mencetuskan ketakutan yang semakin tinggi terhadap jangkitan dibawa masuk dari negara luar ke China.

Daripada 36 kes positif COVID-19 yang dilaporkan semalam, 35 adalah kes import.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), 1,367 pesakit tanpa gejala menjalani pemantauan perubatan, dengan penambahan 130 kes baharu sejak semalam.

Pengumuman NHC semalam itu dibuat sebagai maklum balas kepada kebimbangan orang awam apabila suruhanjaya itu bertindak menyiarkan data harian mengenai kes tanpa gejala yang dikatakan berjangkit.

Terdapat juga desakan besar-besaran supaya kerajaan mendedahkan jumlah kes tanpa gejala.

Minggu lalu, pihak berkuasa mendedahkan bahawa seorang wanita di wilayah Henan yang dijangkiti COVID-19 mempunyai kontak rapat dengan tiga kes tanpa gejala.

Bagaimanapun, kes tanpa gejala tidak termasuk dalam jumlah kes COVID-19 di negara itu melainkan individu berkenaan menunjukkan simptom klinikal.

Data sebelum ini tidak mengambil kira mereka yang positif COVID-19 tetapi tidak menunjukkan gejala jangkitan.

Menurut China, semua kes tanpa gejala yang yang dikenal pasti dan kontak rapat mereka mesti melalui kuarantin selama 14 hari.

Pakar turut bersetuju bahawa pesakit tanpa gejala adalah mereka yang terkena jangkitan, tetapi tidak diketahui bagaimana mereka bertanggungjawab menyebar virus yang boleh menyebabkan kematian itu.

Pakar respiratori, Zhong Nanshan, dalam temu bual dengan media tempatan minggu lalu, berkata setiap pembawa penyakit tanpa gejala ada potensi untuk menjangkiti tiga hingga 3.5 orang.

Banyak negara termasuk Korea Selatan dan Jepun memasukkan kes COVID-19 tanpa gejala dalam kes sah dalam data kebangsaan negara masing-masing.

Setakat ini, daripada 81,554 kes jangkitan di China, 3,312 adalah kes kematian yang kebanyakannya tertumpu di Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.

Kes import pertama disahkan di Wuhan membabitkan warga China belajar di Britain yang kembali minggu lalu selepas negara itu secara beransur-ansur mengenakan sekatan perjalanan untuk mengawal wabak berkenaan. – AFP.. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker