BEN LADIN TAK KISAH DILABEL ‘SENDU’ SEBAB REZEKINYA TAK PUTUS
Penyanyi Ben Ladin, 20, yang sebelum ini pernah dilabel ‘sendu’ oleh segelintir netizen itu tampil menepis dakwaan terbabit apabila mengakui dia banyak memberi fokus pada kerja belakang tabir termasuk membuat projek lagu iklan.
Ben atau nama sebenar Muhammad Benladen Munshi Shaihan berkata dia dilabel ‘sendu’ berikutan kurang muncul di media serta berkongsi apa sahaja foto membabitkan kisah serta aset peribadinya di media sosial.
“Tak dinafikan, sejak Covid-19 melanda negara pada tahun lalu hingga sekarang, nama saya dan kerjaya nyanyian dilihat seakan sepi. Apatah lagi, saya jarang berkongsi segala aktiviti sebenar yang dibuat dalam media sosial.
“Sebenarnya, rezeki saya banyak di belakang tabir membuat projek lagu iklan. Cuma, saya ini sejenis tidak akan menguar-uarkan lebih awal di media sosial sebelum projek berkenaan betul-betul siap dihasilkan.
“Malah, saya juga tidak selesa dan kurang gemar memuat naik foto dan perkongsian video membabitkan kisah serta aset peribadi di media sosial hanya untuk mendapat komen, tanda suka dan meraih perhatian netizen.
Klik untuk gambar besar
“Walaupun saya nampak sendu, tapi Alhamdulillah syukur kehidupan bersama keluarga lancar dan rezeki tak putus. Meski tawaran menyanyi tiada, saya masih mencari rezeki dalam cara lain.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, selama beberapa bulan itu saya aktif menjalankan perniagaan menjual barang basah seperti ikan-ikan, sotong, ketam, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya secara dalam talian.
“Saya menerima apa sahaja tempahan yang dibuat pelanggan tidak kira dalam jumlah banyak atau sedikit. Bagi saya, asalkan ada rezeki dan tidak melihat keuntungan yang banyak. Ketika itu, Alhamdulillh dapat untung sekitar RM300 hingga RM500 sehari pun, saya okay,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Hikayat Benladin’ dan Rampung ini memberitahu dia sangat bersyukur apabila kehidupan serta punca pendapatannya tidak begitu terjejas akibat penularan Covid-19.
Walaupun jumlah itu tidak banyak seperti bayaran biasa diterima untuk satu-satu persembahan nyanyian dijayakan, itu tidak mengapa. Apa yang pasti, rezeki tetap ada jika kita terus berusaha.
Ditanya mengenai perasaan malu, Ben berkata dia tidak perlu malu untuk berusaha mendapatkan rezeki halal. Katanya, lagi pun dia menerima tempahan pelanggan sahaja dan yang menghantar adalah ‘rider’ diupah.
“Ketika PKP itu, saya cuba berkongsi rezeki dengan orang lain mengikut cara sendiri. Ditambah, tempahan yang dibuat pelanggan menerusi kumpulan WhatsApp dan Telegram itu tidak menggunakan nama saya.
“Saya guna nama lain seperti Pak Leman, Pak Belalang dan apa-apa nama yang sesuai. Bagi saya, itu lebih senang dan memudahkan untuk urus niaga dengan pelanggan dibuat,” ujarnya.
Berbicara juga mengenai lagu baharunya, Ben berkata dia kini dalam perancangan teliti. Ujarnya, dia tidak mahu terburu-buru dan gemar membuat perancangan terlebih dahulu.
You must be logged in to post a comment.