TERLANTAR AKIBAT ANGIN AHMAR – ZALEHA HAMID KINI BERANSUR PULIH
“Alhamdulillah, sejak lebih sebulan lalu, isteri saya sudah boleh bercakap dan ingatan bertambah baik. Sebelum ini, isteri tidak sedar apa yang terjadi dengan dirinya. Kadang kala dia menangis tapi sekarang, emosinya bertambah baik.
“Apabila saya putarkan lagu dan bertanya siapa penyanyi lagu terbabit, dia boleh menjawab dengan betul. Maknanya, ingatan sudah kembali seperti biasa. Cuma kadang-kadang dia tidak fokus, namun, semuanya baik,” tutur suami kepada penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65, iaitu Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 56, mengenai keadaan isterinya.
Suami Zaleha, memberitahu isterinya yang terlantar akibat serangan angin ahmar sejak lebih setahun lalu, kini beransur pulih. dan sudah boleh bertutur dan daya ingatan makin baik.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu genre dangdut, Hindustan dan Melayu Deli itu diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember 2019.
Tahun lalu, Zaleha dilaporkan terlantar di katil dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat. Ungku Sulaiman berterima kasih kepada pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan di rumah, JB Care Centre yang menjaga isterinya selama beberapa bulan.
“Alhamdulillah di bawah penjagaan mereka, saya nampak perubahan positif isteri saya. Atas nasihat mereka, isteri saya tidak lagi makan menerusi tiub. Itu yang menyebabkan dia tampak kembali berisi.
“Pipi pun kelihatan makin naik. Jika tidak, sebelum ini, isteri tiada selera makan mungkin kerana tiub berkenaan. Jika mengikut doktor, dia tidak benarkan kami membuka tiub. Namun, melihat badan isteri makin susut, kami tanggalkan tiub berkenaan. Sekarang, saya yang menyuap isteri makan,” jelasnya.
Ketika ini, tugas menjaga Zaleha digalasnya bersama anak bongsu selepas JB Care Centre tidak lagi menawarkan perkhidmatan itu, mulai bulan ini.
Sementara itu, Ungku Sulaiman memberitahu mereka bakal berpindah ke kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, Johor Bahru, akhir bulan ini.
“Alhamdulillah selepas tiga kali memohon sejak 2012, akhirnya kami mendapat unit PPR. Ringanlah tanggungan saya jika hendak dibandingkan dengan sewa rumah RM700 sekarang,” ujarnya yang berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan demi menjaga isterinya.
You must be logged in to post a comment.