‘Dia bantu saya mendalami Islam’

Kuala Lumpur: “Sebenarnya saya mualaf. Sepanjang lima tahun perkenalan kami, dialah yang banyak membantu saya mendalami Islam,” kata Muhammad Asyraf Daniel, 28, yang menamatkan zaman bujang dengan Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang, 62.

Pasangan itu berkahwin pada 11 September lalu dan kini berbulan madu di Cameron Highlands, Pahang.

Muhammad Asyraf berkata, Zaleha juga yang menemani dia mengucapkan kalimah syahadah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Melaka tahun lalu.

“Alhamdulillah, majlis perkahwinan kami berjalan lancar walaupun banyak ujian ditempuhi antaranya tentangan daripada keluarga dan perbezaan usia,” katanya yang dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, hampir enam bulan mereka berusaha untuk mendirikan rumah tangga selepas dia memberanikan diri meluahkan perasaan cinta kepada Zaleha.

“Saya bersyukur kerana isteri menerima cinta saya dan bersetuju untuk berkahwin. Kami memilih tarikh 11 September yang juga adalah hari Jumaat yang penuh barakah,” katanya.

Menurutnya, hubungan mereka semakin rapat ketika sama-sama bertugas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Pahang pada Januari 2019 dan bertambah rapat ketika PRK Tanjung Piai, Johor pada November 2019.

Dia yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, lima tahun perkenalan bersama Zaleha sudah cukup meyakinkannya untuk mengambil keputusan menamatkan status bujang.

Muhammad Asyraf berkata, dia dan isteri akan ke Sabah minggu depan selepas berbulan madu di Cameron Highlands.

Sementara itu, Zaleha ketika dihubungi enggan mengulas lanjut namun sempat memaklumkan beliau dan suami sedang berbulan madu di Cameron Highlands dan dalam perjalanan mencari bunga.

Terdahulu, gambar pernikahan Zaleha bersama pasangannya, Muhammad Asyraf tular di media sosial dengan rata-rata warganet berpendapat perbezaan usia 34 tahun bukanlah penghalang dalam membina rumah tangga yang bahagia.

Zaleha juga pernah tular dengan tindakannya yang mendermakan gelang emas kesayangannya bagi membantu Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak, dua tahun lalu.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker