China siar video pertembungan dengan tentera India di sempadan

BEIJING: China mengeluarkan rakaman video dramatik dipercayai memaparkan pertembungan antara tenteranya dengan tentera India di sempadan yang menjadi pertikaian dua negara, tahun lalu.

Kementerian Pertahanan China semalam menamakan empat tenteranya yang maut dalam pertempuran itu yang turut mengorbankan sekitar 20 tentera India.

Rakaman yang dikeluarkan syarikat media tempatan CCTV dipercayai menunjukkan tentera India bergerak ke arah askar China di Pergunungan Karakoram, membawa kayu dan perisai tertera perkataan ‘Polis’.

Rakaman kemudian menunjukkan jarak dekat pertembungan kedua-dua pihak dan pertempuran dalam gelap, sebelum tentera China dilihat merawat seorang lelaki di lantai kerana kepalanya berlumuran darah.

“Mereka kini memindahkan khemah baharu yang lain di sini,” kata seorang askar dalam video itu dengan mendakwa pihak India melanggar konsensus dan melintasi sempadan bagi ‘membangkitkan kemarahan tentera China.

Pertempuran di sempadan Lembah Galwan pada Jun tahun lalu, adalah antara pertempuran paling tragik antara kedua-dua pihak sejak beberapa dekad lalu.

Namun, perjanjian dua hala menghalang penggunaan senjata jika berlaku konflik namun pertembungan kedua-dua pasukan keselamatan di sempadan sering membabitkan pertempuran bersenjatakan kayu dan batu serta pergaduhan.

Beijing mengakui pertempuran itu menyebabkan kematian tetapi tidak mengesahkan ada tentera China terkorban selepas insiden itu.

Kementerian Pertahanan berkata, Komander Batalion, Chen Hongjun dan tiga askar lain diberi anugerah posthumous. Media tempatan melaporkan askar termuda yang terkorban berusia 19 tahun.

India dan China sering bertelagah menerusi perang di sempadan sejak tahun 1962, selain menuduh antara satu sama lain berusaha merentas sempadan yang menjadi pertikaian dekat wilayah Ladakh India, bertentangan Tibet.

Beijing dan New Delhi kemudian menghantar puluhan ribu pasukan tambahan ke sempadan, tetapi minggu lalu, mengumumkan persetujuan untuk ‘bertenang’ di sepanjang kawasan sempadan. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker