Anak peneroka Felda kini jutawan

PERNIAGAAN kuih keria yang diusahakan seorang wanita sejak tujuh tahun lalu mampu mengubah hidupnya daripada anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada jutawan.

Suhailah Mohamad, 47, dari Felda Kerteh 3, di sini berjaya membuktikan anak kelahiran Felda sepertinya juga boleh berjaya seperti individu lain walaupun kehidupannya banyak bergelumang dengan kelapa sawit.

Mengakui bukan mudah untuk sampai ke tahap itu, Suhailah berkata, beliau pernah dua kali diisytiharkan muflis kerana gagal dalam perniagaan sebelum bangkit semula dengan menjual kuih keria di tepi jalan.



“Ketika muflis, saya hilang segala-galanya tetapi semangat untuk terus berniaga tetap ada. Jadi, saya membuat kuih keria dan beri kepada jiran-jiran serta jemaah masjid. “Mereka memaklumkan kuih keria itu sedap, jadi saya ambil keputusan untuk jual kuih tersebut.

“Berbekalkan satu beg ubi keledek vitato seberat 10 kilogram (kg), saya menjual kuih keria di tepi jalan raya dan semua kuih itu habis dalam masa sejam sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di premis pemprosesan keria sejuk beku beliau di Felda Kerteh 3.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, kuih keria jualannya menjadi tular dengan nama Keria Viral Ganu dan mendapat sambutan dari seluruh negeri.

“Seterusnya, saya menghasilkan kuih keria sejuk beku bagi pasaran luar Dungun,” katanya.



Suhailah kemudiannya menubuhkan syarikat KVG Juta Sdn Bhd dan membuka sebuah kilang pemprosesan kuih keria sejuk beku di Felda Kerteh 3 serta menggaji 50 pekerja yang terdiri daripada anak-anak peneroka.

“KVG Juta Sdn Bhd mempunyai 50 stokis utama di seluruh Malaysia sebagai wakil jualan kios Keria Viral Ganu dengan pendapatan tahunan kilang pada tahun lalu sebanyak RM2.2 juta.

“Saya berhasrat masuk ke rangkaian pasar raya tetapi tidak mampu menyediakan stok kuih kerana bekalan ubi keledek vitato sekarang tidak mencukupi.

“Kami hanya mampu menyediakan bekalan ubi untuk stokis dan ejen,” katanya.



Asmawi (kiri) menunjukkan sebahagian alat ganti motosikal Yamaha RXZ yang dijual syarikatnya, DG Motosport.

Suhaila memerlukan kira-kira 1.2 tan metrik ubi keledek vitato sehari bagi menghasilkan 22,000 kuih keria sejuk beku untuk pasaran seluruh negara. Bekalan ubi diperoleh daripada beberapa pembekal dari Besut dan Setiu.

Selain kuih keria, syarikatnya turut mengeluarkan ubi keledek rebus vakum yang sedia untuk dimakan dan telah memohon sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memasarkan produknya ke luar negara.



Sementara itu, pemilik sebuah syarikat minyak dan gas di Paka, Asmawi Mohamad, 45, berkata, beliau hanya bekerja makan gaji dengan sebuah syarikat kejuruteraan tempatan sebelum mengambil keputusan bekerja sendiri pada tahun 2007.

Berani

Pengarah Urusan DanaGas Engineering Sdn Bhd itu berkata, keputusan tersebut bagi mengubah hidupnya dan beliau memberanikan diri melaksanakan satu projek bernilai RM18,000 tanpa mengeluarkan modal bersama rakan kongsinya, Roslan Hassan.

“Selepas itu, kami mendapat tender penyelenggaraan perpaipan gas bernilai RM260,000 dan menjadikan rumah di Santong sebagai pejabat kami sebelum mendapat beberapa projek lain.



“Kami kemudiannya menyewa sebuah kabin di Paka untuk dijadikan pejabat,” katanya.

Menurut anak jati Felda Kerteh 2 itu, perniagaannya pernah beberapa kali diuji dengan kontraktor utama tidak membuat bayaran, selain tiada projek hingga hampir putus asa dan mahu memohon kerja dengan syarikat lain.

Namun, sikap tidak mudah mengalah menjadikannya terus istiqamah dan akhirnya bangkit semula, malah memperoleh pelbagai kejayaan termasuk dua penghargaan kerana prestasi kualiti terbaik daripada empat kontraktor utama.

Asmawi berkata, selain kejuruteraan, beliau turut mengembangkan perniagaannya dengan berkecimpung dalam bidang pembinaan melalui syarikat DanaGas Construction dan DG Motosport yang menjual alat ganti motosikal.



“DanaGas Construction sedang membina projek Taman Industri Paka bernilai lebih RM2 juta dan DG Motosport pula merupakan pembekal barang dan alat ganti motosikal Yamaha RXZ,” katanya.

Asmawi berkata, DanaGas Engineering Sdn Bhd memperoleh pendapatan sebanyak RM6 juta tahun lalu dan mempunyai seramai 20 pekerja tetap.

Menurutnya, jumlah pekerjanya boleh bertambah sehingga 200 orang bergantung kepada projek semasa.

“Kepada anak-anak peneroka yang mahu berniaga, nasihat saya agar mereka berani dan istiqamah.

“Dalam perniagaan ada masa kita akan jatuh, jadi kena kuat, selain doa dan sokongan daripada kawan-kawan.

“Jangan sesekali malu walaupun kita anak peneroka kerana kita juga boleh berjaya jika berusaha dan jangan jadikan wang sebagai keutamaan kerana dalam berniaga kita juga mahukan keberkatan. Jadi, banyakkan bersedekah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan turut berkongsi rasa bangga dengan kejayaan warga Felda di wilayah berkenaan.

“Ramai usahawan dan individu berjaya telah dilahirkan di serata rancangan Felda. Mereka adalah manifestasi usaha dan kecekalan berterusan dalam meningkatkan taraf hidup yang pastinya sentiasa mendapat sokongan daripada pengurusan Felda.

“Di Wilayah Terengganu, seramai lebih 1,000 usahawan telah dilahirkan dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM87.4 juta bagi tahun 2020.

“Ia menunjukkan kita berada di landasan yang tepat bagi merealisasikan aspirasi Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh untuk melahirkan 1,000 usahawan jutawan menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi yang semakin rancak di kawasan rancangan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan warga Felda dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada komoditi sawit dan getah.

Namanya seram ya ampun, namun rasanya lima bintang kau

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker