Namanya seram ya ampun, namun rasanya lima bintang kau

KUIH-MUIH di Malaysia namanya pelik-pelik, kelakar dan tidak kurang pula mencetuskan rasa seram. Bagaimanapun, namanya itu tidak membayangkan rasanya.

Di Kelantan misalnya, ada beberapa jenis kuih yang namanya seram, tetapi tidak sama sekali “seram” dari segi rasanya, malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa, hanya namanya sahaja seram, tetapi rasanya tetap lima bintang.

Kita lihat 5 kuih asalnya dari Kelantan, yang namanya seram, tetapi rasanya sedap.

1. KUIH LOMPAT TIKAM


Mengikut cerita yang dipetik, kuih Lompat Tikam ini dikatakan berasal dari kerajaan Majapahit untuk dipersembahkan kepada kerajaan Kelantan pada tahun 1700.

Semasa hendak dipersembahkan di atas dulang, dayang-dayang membawanya dengan penuh berhati-hati.

Tetapi apabila seorang dayang tersadung pada bendul di istana, Sultan Kelantan terkejut lalu melompat dan tertikam pula dayang itu.

Dikatakan juga, sempena menghayati kisah itu, sultan dengan rasminya menamakan kuih itu Lompat Tikam.

Ia mungkin kisah mitos, tapi mungkin juga benar.

Namun, apa yang penting, rasa Lompat Tikam memang wow! Sebab apa? Ini disebabkan, kuih ini mempunyai dua lapisan, iaitu lapisan tepung yang biasanya bewarna hijau di bahagian bawah dan lapisan santan yang bewarna putih di bahagian atas.

Bahagian ini dibuat tawar kerana ia dimakan bersama air nisan atau gula kabung. Rasanya lemak dan manis, lebih sedap jika dimakan pada sebelah pagi dan untuk hidangan minum petang.

Tidak syak lagi, kuih ini tidak “membunuh”, tetapi mengenyangkan.

2. KUIH TAHI ITIK


Kuih Tahi Itik ini memang popular di negeri pantai timur terutama Kelantan dan Terengganu Ia merupakan sejenis kuih yang diperbuat dari putih telur dan disira panas dalam air gula. Ia dibentuk bertempek-tempek seperti tahi itik.

Kuih Tahi Itik ini sangat sedap dimakan pada setiap masa, tidak kira pagi atau petang.

Cuma, rasanya yang sedikit manis menyebabkan mereka yang menjaga kesihatan cuba untuk tidak menjamahnya.
Bagaimanapun, jika tidak gemarkan manis, boleh kurangkan gula semasa memasak adunannya.

Rasanya? Ya lemak kerana putih telur dan manis, disumbang air gula. Campuran dua bahan ini menjadikan kuih Tahi Itik tidak seperti namanya yang seram, sebaliknya akan terkenang-kenang, tidak cukup sebiji tetapi silap hari bulan, habis sedulang sambil membawang.

3. KUIH KOLEH KACANG TAHI MINYAK


Ya Allah, kenapa namanya tahi minyak? Ini kuihnya dinamakan koleh kacang tetapi ditabur tahi minyak di atasnya.

Maka, dinamakan kuih tradisonal Kelantan ini, Koleh Kacang Tahi Minyak.

Bahan dalam pembuatan Kuih Koleh Kacang itu sendiri adalah tepung beras yang dicampur dengan kacang hijau dan dibakar atau dikukus.

Manakala tahi minyak itu pula, dibuat daripada santan kelapa yang dimasak hingga kering dan menjadi menjadi minyak.

Jangan tidak tahu, minyak ini boleh digunakan untuk menggoreng makanan lain pula. Ia ditabur di atas koleh kacang itu untuk rasa yang lebih sedap dan terangkat.

Apa yang ditabur itu tahi minyak, iaitu hampas dari minyak yang dihasilkan, maka dengan itu namanya tahi minyak.

4. KUIH ULAT BULU


Mengenang namanya, sudah pasti seram sejuk mahu menjamahnya. Tetapi jangan tidak tahu, kuih Ulat Bulu ini berinti kacang merah dan rasanya lemak manis memikat hati.

Bahan-bahan untuk kuih ini sangat mudah dicari, cuma tepung pulut dan gandum yang diuli sebelum dibentuk doh untuk dimasukkan kacang merah dan direbus dalam air mendidih.

Sesuai dimakan semasa mimum petang kerana rasanya begitu memikat dan menjadi lemak manis apabila kuih ulat bulu ini digaul bersama kelapa parut diletakkan sedikit garam dan gula.

Kalau kita bayangkan kita makan ulat bulu, memang selama-lamanya kita tidak akan menjamah Kuih Ulat Bulu ini, tetapi jika “tolerate” bahawa rasanya lima bintang, sudah pasti berulang kali kita mencari Kuih Ulat Bulu ini!

5. ROTI CANAI ULAR


Yang biasa kita makan, roti canai bulat atau berbentuk empat segi jika memesan Roti Canai Telur atau Roti Sardin.
Tetapi roti canai ular, bentuknya seperti ular? Ya, bentuknya seperti ular, melingkar di atas pingan dan terkeluar lidahnya.

Eeee, memang seram jika dibayangkan.
“Tetapi rasanya cukup lemak, cukup sebati tepung dan marjerin atau minyak sapi, macam roti biasa. Sedap. Hanya mungkin bentuknya ular, orang takut, gerun untuk menjamah. Tapi saya OK sahaja,” kata Aznira, warga Kelantan, penggemar Roti Canai Ular.

Teringin makan roti canai ular? Ayuh, ke Kelantan, lebih khusus di Tumpat.
Dihasilkan dalam lima perisa atau inti iaitu planta dan susu pekat, milo, keju, kaya dan nestum, harga yang ditawarkan antara RM1.50 hingga RM3. Dan, ini namanya inovasi.

Baru-baru ini, apabila hidangan ini menjadi tular, pakar agama tampil menjawab kegusaran bahawa tidak haram menjamah atau membeli hidangan berbentuk ular atau haiwan lain selagi bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatannya bukan benda haram.

Namun jika seram, geli dan gerun untuk menjamah Roti Canai Ular, boleh sahaja bertukar kepada roti bentuk biasa – bulat dan empat segi. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker