Jangan sulitkan pengeluaran i-Sinar

Kerajaan seharusnya mempermudahkan dan bukannya mempersulitkan proses pemberian kemudahan i-Sinar yang diberikan kepada rakyat ketika ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, masa adalah sangat berharga lebih-lebih lagi ketika kebanyakan rakyat ketika ini dihimpit dengan tekanan ekonomi yang luar biasa akibat daripada impak negatif pandemik Covid-19.

“Permudahkan jangan persulitkan. Nak tunggu 8 Mac ini (kelulusan i-Sinar) untuk buat keputusan lambat. Itu baru keputusan, belum lagi penyaluran. Itu pun tak tahu lagi bila.



“Jadi masa sangat berharga walaupun satu atau dua hari. Kalau tidak rakyat tidak akan mengeluh. Rakyat mengeluh ini bukan retorik, ini memang benar-benar apa yang rakyat perlukan,” katanya ketika mengulas mengenai pengumuman terbaharu daripada KWSP berkenaan kemudahan pengeluaran i-Sinar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika memberikan pandangan dalam program Wacana Sinar Harian Edisi ke-233 bertajuk ‘i-Sinar: Rintihan rakyat akhirnya didengari’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma; Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia, Datuk Abdul Halim Mansor dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.



Dari kiri; Ismail bersama panelis Abdul Halim, Madeline, Paul dan Asyraf Wajdi pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-233 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Pada Khamis, KWSP mengumumkan bahawa ahlinya di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac 2021.

Pengumuman tersebut dibuat selepas kerajaan pada 11 Februari lalu mengumumkan mengenai pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan akaun satu.

Asyraf Wajdi berkata, beliau sedar dilema yang dihadapi oleh KWSP iaitu sama ada melindungi simpanan waktu tua ahlinya dan pada masa sama perlu memenuhi tuntutan pencarum yang memerlukan bantuan tunai kecemasan ketika krisis kali ini.

Katanya, perdebatan berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah dibincangkan oleh pakar ekonomi dunia sejak tahun 1936 lagi.



“Pakar ekonomi dunia Milton Keynes (John Maynard Keynes dan Milton Friedman) dia dah membentangkan bagaimana kita nak imbangi antara simpanan dan perbelanjaan.

“Antara perkaranya ialah apabila seseorang itu berhadapan dengan suasana kecemasan, dia sudah tentu akan mengutamakan soal bagaimana nak berbelanja.

“Begitu juga dengan konteks sekarang iaitu apabila ruang untuk berbelanja itu makin lama makin tertutup atas faktor kehilangan pekerjaan, pengurangan elaun dan pelbagai lagi,” katanya.

Menurutnya, tindakan membenarkan penggunaan simpanan wajib bagi pekerja ketika krisis pandemik juga dilakukan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan New Zealand.



Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan memiliki kemampuan untuk menampung kembali jumlah pengeluaran yang dilakukan oleh pencarum pada masa akan datang dengan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang progresif.

“Pada 2007, KWSP hanya mempunyai lebih kurang RM314 bilion nilai aset. Tetapi dalam tempoh 10 tahun selepas Datuk Seri Najib Tun Razak ambil alih sebagai Perdana Menteri, angka itu meningkat sehingga lebih RM800 bilion.

“Jadi, perkara yang utama sekali adalah bagaimana kerajaan harus melakukan tindakan dan mengadakan dasar-dasar yang progresif dari segi ekonominya untuk memastikan KWSP terus berdaya saing,” katanya.-SH

5 Isu Utama Dibangkitkan Rakyat Mengenai I-Sinar Kwsp Tanpa Syarat



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker