“Mandat Besar, Amanah yang Lebih Besar”

“Mandat Besar, Amanah yang Lebih Besar”

“Mandat Besar, Amanah yang Lebih Besar”

Pilihan raya sentiasa menjadi detik penting dalam perjalanan sesebuah demokrasi. Ia bukan sekadar proses memilih kerajaan, tetapi medan untuk rakyat menyatakan harapan, menzahirkan kepercayaan dan menentukan arah masa depan negeri serta negara. Dalam konteks Johor, setiap kali rakyat keluar mengundi, mereka bukan sekadar melaksanakan hak sebagai pengundi, tetapi turut memikul tanggungjawab sebagai warga yang prihatin terhadap masa depan negeri yang mereka cintai.

Atas dasar itu, ucapan pertama yang paling wajar dizahirkan selepas tamatnya sesuatu pilihan raya bukanlah ucapan meraikan kemenangan, sebaliknya ucapan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor.

Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan wajar dirakamkan kepada semua anak Johor yang telah keluar menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan penuh tertib dan kematangan. Sama ada mereka mengundi Barisan Nasional mahupun parti-parti lain, setiap undi yang dibuang merupakan lambang bahawa demokrasi di negeri ini masih subur dan terus dihormati.

Sesungguhnya, demokrasi tidak hanya diukur melalui keputusan pilihan raya, tetapi melalui kesediaan rakyat untuk terus mengambil bahagian dalam proses menentukan masa depan negeri. Rakyat Johor sekali lagi membuktikan bahawa mereka merupakan masyarakat yang matang, berhemah dan memahami bahawa masa depan Johor bukan boleh diserahkan kepada orang lain, sebaliknya mesti dibentuk oleh tangan mereka sendiri.

Barisan Nasional amnya dan Barisan Nasional Johor khususnya menerima keputusan dan mandat yang diberikan oleh rakyat dengan penuh rasa syukur, takzim dan rendah hati. Kemenangan yang diperoleh bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai hak mutlak atau lesen untuk bermegah. Sebaliknya, ia merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Tidak Perlu Gunakan Isu Adat Sebagai Bahan Kempen – Tok Mat Hasan


Dalam budaya Melayu dan tradisi kepimpinan Islam, amanah sentiasa dianggap lebih berat daripada kuasa. Kuasa boleh memberikan kedudukan, tetapi amanah menuntut kejujuran, keikhlasan dan kesanggupan untuk berkhidmat. Sebab itulah kemenangan tidak seharusnya diraikan secara berlebihan sehingga melupakan hakikat bahawa setiap mandat yang diberikan rakyat akan dipersoalkan kembali melalui prestasi pentadbiran dan hasil kerja yang dizahirkan.

Lebih besar kemenangan yang diperoleh, lebih besarlah amanah yang sedang dipikul. Hakikat ini perlu sentiasa menjadi peringatan kepada setiap pemimpin yang diberikan kepercayaan oleh rakyat.

Sejarah politik negara telah banyak mengajar bahawa sesebuah kerajaan tidak semestinya kehilangan kuasa kerana lawannya terlalu kuat. Tidak sedikit yang kehilangan kepercayaan rakyat kerana mereka sendiri mula lupa bahawa kuasa hanyalah pinjaman yang diberikan oleh rakyat untuk tempoh tertentu.

Apabila rasa selesa mula menguasai diri, apabila budaya mengampu mengatasi budaya menegur, apabila kritikan dianggap ancaman dan apabila suara rakyat semakin jauh daripada pendengaran pemimpin, ketika itulah bibit-bibit kemerosotan mula tumbuh. Justeru, kemenangan besar yang diperoleh Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini sewajarnya menjadi medan muhasabah, bukannya medan untuk berasa tinggi diri, sombong atau ego.

Rakyat hari ini jauh lebih bijaksana berbanding dahulu. Mereka tidak lagi menilai pemimpin berdasarkan pidato yang berapi-api atau slogan yang indah. Mereka menilai melalui hasil kerja, kecekapan pentadbiran dan kesungguhan menyelesaikan masalah yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Melaka Sedia Memimpin Gelombang Baharu Industri Semikonduktor – Ab Rauf


Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, bekalan air, kemudahan kesihatan, pendidikan anak-anak serta kesejahteraan ekonomi keluarga merupakan ukuran sebenar kepada kejayaan sesebuah kerajaan. Dalam erti kata lain, rakyat tidak mengundi untuk melihat siapa yang paling hebat meraikan kemenangan. Mereka mengundi kerana mahu melihat siapa yang paling bersungguh-sungguh memikul amanah.

Johor hari ini sedang melangkah ke fasa pembangunan yang baharu. Negeri ini muncul sebagai destinasi pelaburan utama negara, pusat pertumbuhan ekonomi dan gerbang penting kepada rantau ini. Namun, kemajuan tersebut hanya akan mempunyai makna sekiranya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Pembangunan tidak boleh sekadar diukur melalui nilai pelaburan yang berjaya dibawa masuk atau bangunan-bangunan baharu yang menghiasi landskap negeri. Pembangunan sebenar ialah apabila kehidupan rakyat menjadi lebih baik; apabila peluang pekerjaan semakin bertambah; apabila anak muda mempunyai masa depan yang lebih meyakinkan; apabila peniaga kecil terus berkembang; apabila petani dan nelayan mendapat pembelaan sewajarnya; dan apabila setiap keluarga dapat menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera.

Perkembangan yang sedang dinikmati Johor hari ini tentunya tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada kesinambungan dasar, keupayaan pentadbiran serta kesungguhan kepimpinan kerajaan negeri dalam meletakkan Johor sebagai antara destinasi pelaburan paling dinamik di negara ini.
Dalam konteks tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah memberikan dimensi baharu kepada pentadbiran negeri. Pendekatan beliau yang lebih responsif, kerap turun padang, memberi perhatian kepada isu-isu asas rakyat, mempercepat keputusan pentadbiran serta meletakkan pembangunan ekonomi seiring dengan kesejahteraan rakyat telah menyumbang kepada keyakinan masyarakat terhadap hala tuju Johor.

Namun, seperti mana yang sering ditegaskan sendiri oleh beliau, kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah kejayaan seorang Menteri Besar. Ia adalah hasil kebersamaan seluruh anggota pentadbiran, penjawat awam, kepimpinan akar umbi dan yang paling utama ialah kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. Justeru, kemenangan besar ini tidak seharusnya dilihat sebagai penamat kepada usaha tersebut, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang jauh lebih besar.

Inilah ukuran sebenar sebuah kerajaan yang berjaya. Dalam budaya Melayu terdapat satu peribahasa yang cukup mendalam maknanya, iaitu “pisang tidak berbuah dua kali.” Ungkapan ini bukan sekadar peringatan tentang pengalaman hidup, tetapi juga satu falsafah kepimpinan. Kesilapan yang pernah menyebabkan rakyat hilang keyakinan suatu ketika dahulu tidak boleh dibiarkan berulang. Budaya terlalu selesa dengan kuasa, kealpaan terhadap denyut nadi rakyat dan sikap tidak mahu mendengar teguran mesti ditinggalkan sama sekali.

Mandat yang diberikan rakyat kali ini hendaklah dijadikan peluang untuk memperbaiki kelemahan, memperkukuh integriti dan mengembalikan sepenuhnya keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran.

Akhirnya, setiap pilihan raya akan berakhir dengan satu keputusan. Namun, keputusan itu bukanlah penamat kepada perjalanan sesebuah kerajaan. Sebaliknya, ia hanyalah permulaan kepada satu amanah yang jauh lebih besar. Hari ini rakyat memberikan mandat; Esok rakyat akan memerhati; Lusa rakyat akan menilai. Dan apabila tiba waktunya nanti, rakyat jugalah yang akan menentukan sama ada amanah yang dipinjamkan itu telah dipelihara dengan sebaik-baiknya ataupun disia-siakan.

Mudah-mudahan kemenangan yang diraih Barisan Nasional kali ini menjadi titik tolak kepada lahirnya sebuah pentadbiran yang lebih matang, lebih berintegriti, lebih merendah diri dan lebih dekat dengan denyut nadi rakyat.
Kerana dalam politik, kemenangan yang sebenar bukanlah apabila berjaya memenangi pilihan raya, tetapi apabila, setelah tamat tempoh memegang amanah, rakyat dapat berkata dengan penuh keikhlasan bahawa mereka telah memilih pemimpin yang bekerja dengan hati, memimpin dengan amanah dan tidak pernah lupa bahawa setiap kuasa akhirnya adalah milik rakyat untuk dipinjamkan, bukan dimiliki selama-lamanya.

Datuk Zakaria Dullah
Timbalan Ketua UMNO
Bahagian Simpang Renggam
Penaung Briged Negaraku

“Mandat Besar, Amanah yang Lebih Besar”


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Onn Hafiz Percaya Gelombang Biru Dari Johor Akan Tiba Di Negeri Sembilan

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker