Shuk Sahar ditamatkan kontrak Hot FM
Pelawak kontroversi, Shuk Sahar barangkali sudah berjaya mendapatkan semula cinta isterinya namun dari segi kerjaya, nasibnya boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.
Natijah daripada krisis rumah tangga dan kecuranganan yang dilakukannya, Shuk kini bukan sahaja digantung tugas, pengurusan radio milik Media Prima tersebut sudah membuat keputusan menamatkan kontrak Shuk sebagai penyampai Hot FM.
“Saya okay dan terima keputusan Hot FM. Saya faham mereka punya bahagian,” kata pelawak popular, Shuk Sahar berhubung penamatan kontraknya sebagai penyampai radio Hot FM yang berkuat kuasa hari ini.
Shuk, 35, atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan beranggapan itu keputusan terbaik pihak pengurusan stesen radio terhadap dirinya.
“Apa pun, keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik buat Hot FM. Jadi saya terima, cuma buat masa sekarang saya belum bersedia untuk bercerita lanjut. Beri saya ruang dalam tempoh sehari dua ini,” katanya.
Terdahulu, Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Mohd. Tahrim dalam satu kenyataan berkata, keputusan penamatan kontrak Shuk dicapai selepas siasatan dalaman syarikat mendapati Shuk telah melanggar kontrak dan terma perjanjian.
“Kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio di Hot FM ditamatkan berkuatkuasa hari ini.
“Selepas selesai siasatan dalaman mendapati berlakunya pelanggaran terma perjanjian oleh Shuk seperti yang sudah dipersetujui di dalam kontrak perkhidmatannya sebagai penyampai radio Hot FM.
“Shuk juga telah dimaklumkan mengenai hal ini,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio Hot FM digantung sementara bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan melakukan siasatan dalaman secara terperinci berhubung isu rumah tangganya yang tular di media sosial.
Isnin lalu, Hot FM mengumumkan penyanyi dan pelakon Mark Adam merupakan penyampai baharu segmen Geng Pagi Hot (GPH).
Mark bergandingan bersama seorang lagi penyampai iaitu Fizie bagi memeriahkan GPH selepas pengunduran Shuib pada hujung Januari lalu.
Dalam pada itu, Anida berkata pemilihan Mark Adam sebagai penyampai GPH dapat memberikan nafas baharu buat stesen radio berkenaan.
“Selepas Shuib berundur dari Hot FM, kami sudah merancang untuk memberi ‘facelift’ kepada GPH dengan kemasukan Mark Adam. Reputasi Mark sebagai penghibur yang versatil memberikan nafas segar untuk segmen GPH.
“Harapan kami agar para pendengar akan terus menyokong Hot FM dan kami menjanjikan pengisian yang terbaik buat semua khususnya pendengar setia Hot FM,” ujarnya.
Shuk terpalit dengan kontroversi selepas tersebarnya video dia berlaku curang terhadap isterinya Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan didakwa mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. – K! ONLINE
[VIDEO] Welcome To The Club! Mark Adam! Ramai Suka, Mark Adam Ganti Shuib di Hot FM 🔥
You must be logged in to post a comment.