Kalaulah saya tahu saya cuma ada masa 12 tahun dengannya… – Bunga Citra Lestari
PENGALAMAN berbelas tahun sebagai pelakon tidak dapat menyediakan Bunga Citra Lestari untuk menghadapi kehilangan paling besar dalam hidupnya.
Dalam pendedahan eksklusif di saluran YouTube miliknya, Bunga memaklumkan dia menerima pemergian secara tiba-tiba suaminya, Ashraf Sinclair, namun seperti manusia biasa yang lain, masih ada sebahagian daripada dirinya yang berharap apa yang terjadi hanya sekadar mimpi buruk.
“Saat dia pergi, saya sudah dapat menerima yang suami saya sudah tiada. Tetapi entah kenapa saya masih berharap saya cuma bermimpi buruk.
“Bertahun saya menjadi pelakon, saya sudah biasa menyerap emosi kehilangan seperti yang dikehendaki pengarah. Nyata ia tidak mampu membuat saya bersedia menghadapi kehilangan yang sebenar.
“Selama beberapa hari selepas Ashraf pergi, saya asyik menampar diri sendiri, bangunlah, kenapa saya masih tidak bangun dari mimpi.
“Ashraf orang pertama paling rapat dalam hidup saya, yang pergi meninggalkan saya. Saya cakap, Tuhan, aku redha dan aku ikhlas. Tidak ada momen di mana saya histeria dan tak dapat terima pemergiannya.
“Saya redha, cuma kejutan itu terlalu besar,” katanya dalam siri #BCLMelangkahLagi, berjudul Love Story #2 – Hari-Hari Terakhir Ashraf.
Pelakon dan penyanyi itu mengakui, sepanjang tempoh dia cuba menyesuaikan diri dengan ketiadaan suami yang hidup bersamanya selama 12 tahun, dia tidak pernah marah dengan takdir.
Sebaliknya, apa yang diratapi adalah persoalan bagaimana dia harus meneruskan hidup.
“Saya tidak marah dengan takdir Tuhan. Cuma saya berada dalam situasi ‘tidak tahu’.
“Selama saya hidup, saya diajar untuk menerima apa sahaja situasi. Apa pun yang terjadi, acceptance, atau penerimaan itu penting, baru boleh ke peringkat seterusnya.
“Saya bertanya kerana saya memikirkan apa yang akan jadi, terutama dalam hidup saya dan anak, Noah. Saya masih ada bapa, bapa Ashraf juga masih ada.
“Tetapi Noah, anak saya, sudah kehilangan bapanya. Di mana lagi saya boleh cari figure yang begitu untuk Noah,” katanya sambil menyeka air mata.
Nampak tenang sepanjang temubual bersama Daniel Mananta, Bunga menyifatkan kehilangan Ashraf membuatkan dia kembali memikirkan apa sebenarnya yang dicari dalam hidup.
“Saya seorang yang teratur. Saya ada aturan dalam hidup saya, ada masa untuk keluarga dan ada masa untuk kerja.
“Bukanlah saya menyesal kerana memberi tumpuan kepada kerjaya. Tetapi hari ini bila difikirkan kembali, saya tertanya, untuk apa saya ‘berlari’ selama ini? Apa yang saya kejar?
“Kalaulah saya tahu masa saya dengan dia hanya 12 tahun, mungkin keutamaan saya juga berubah. Mungkin saya tidak ‘berlari’ begitu, dalam keadaan saya sendiri tidak tahu apa yang saya kejar,” ujarnya.
Video itu yang dimuat naik dua hari lalu, telah menerima lebih 800,000 tontonan ketika berita ini ditulis.
Ashraf, 40, meninggal dunia pada 18 Feb tahun lalu, akibat serangan jantung.
’12 Tahun Terindah’ luahan rindu Bunga Cinta Lestari terhadap Ashraf Sinclair
You must be logged in to post a comment.