10 termasuk penjawat awam ditahan leka berparti liar

Gambar Hiasan

BUTTERWORTH: Polis menahan 10 individu termasuk seorang penjawat awam yang sedang leka berhibur dan berparti liar di sebuah inap desa di Kampung Benggali, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan dijalankan, pihaknya menyerbu pangsapuri itu pada 1.10 pagi dan mendapati terdapat lapan lelaki serta dua wanita yang semuanya berusia 21 hingga 31 tahun sedang berhibur.

“Kumpulan itu menyewa inap desa tersebut untuk berparti liar dan minum air ketum kerana dalam pemeriksaan di rumah terbabit kami turut menemukan enam bungkusan serta sebotol air ketum. Selain itu polis turut merampas satu set pembesar suara, mereka turut menjadikan rumah itu seperti pusat hiburan dan turut memasang muzik dengan kuat untuk berhibur di situ,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati mereka menyewa pangsapuri itu tiga hari dua malam dengan bayaran RM300 untuk dijadikan tempat berhibur dan minum air ketum bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terutama ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).



“Semasa serbuan awal pagi tadi, mereka baru semalam menginap di situ untuk berparti liar dan setakat ini ujian air kencing semua mereka didapati negatif,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada penjawat awam iaitu bekerja sebagai atendan sebuah hospital, peniaga, pekerja kilang, pekerja kurier dan pekerja syarikat swasta.

Beliau berkata selain dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar PKP iaitu berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah, semua mereka turut direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki air ketum.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker