Dakwa anak tiri kejang otot, rupanya didera

TAMPIN: Helah seorang lelaki membawa anak tirinya ke klinik kerana mengalami kekejangan terbongkar, selepas dia ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu sehingga maut, dalam kejadian pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 9 Februari lalu kira-kira jam 10 malam, di hadapan balai polis ketika menunggu isteri dan seorang lagi anak tirinya berumur sembilan tahun, yang dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori simen itu ditahan, selepas pendedahan abang mangsa kepada polis bahawa adiknya kerap dipukul oleh bapa tirinya.



“Pada malam kejadian, abang mangsa mendengar bunyi kuat seperti pukulan dan suaranya menangis dalam bilik tidur bapa tirinya. Pada subuh, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke klinik.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia setibanya di klinik walaupun diberi bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Mengulas lanjut Anuwal berkata, polis menerima laporan daripada doktor bertugas di Klinik Kesihatan Gemas, mengenai seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia, 1 Februari lalu.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala, kesan lebam di pergelangan tangan dan kaki di kedua-dua belah, serta kesan gigitan di badan mangsa, selain tiga tulang rusuk kirinya patah.



“Pakar gigi dari Hospital Kuala Lumpur juga mengesahkan terdapat tiga kesan gigitan gigi dewasa, iaitu di tangan kanan, bahu kanan dan pergelangan tangan kanan si mati, dan forensik mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat benda tumpul,” katanya.

Anuwal berkata suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.

“Suspek kini direman bermula 10 Februari hingga Selasa depan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak- Kanak 2001,” katanya. – BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker