Ketua Polis Daerah Putrajaya nafi terlibat penganjuran majlis langgar SOP PKP

PUTRAJAYA: Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali menafikan dakwaan di media sosial, kononnya beliau terlibat dengan penganjuran sebuah majlis yang diadakan di kawasan perumahan di Presint 8 di sini, hari ini.

Beliau berkata, dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan majlis itu adalah tidak benar, dan pemilik rumah berkenaan telah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mengesahkan memang ada majlis seperti yang ditularkan itu, namun ia tidak ada kena mengena dengan saya seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Fadzil berkata, siasatan mendapati pemilik rumah itu hari ini telah mengadakan majlis doa selamat yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.

“Saya telah hadir di rumah itu lebih awal selepas menerima laporan mengenai penganjuran majlis itu, dan telah mengarahkan anggota untuk mengeluarkan kompaun terhadap tuan rumah kerana melanggar SOP PKP,” katanya.

Hari ini, sekeping gambar yang memaparkan sebuah rumah di Presint 8 di sini, mengadakan majlis yang dihadiri lebih 10 individu tular di laman sosial, selain ia mendakwa pemilik rumah itu mempunyai kaitan dengan Mohd Fadzil.

— BERNAMA

Leave a Reply