Apa rasional PN terima parti celupar seperti Gerakan

Gerakan lebih ‘sesuai’ dengan DAP, nada dan agenda mereka sama

 

BANGI, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) jelas membuktikan parti itu kini ‘mengambil peluang’ bergayut kepada parti memerintah.

Ia tidak ubah seperti pohon dedalu yang hidup menumpang pada pokok lain dan akhirnya menghisap segala kehidupan pada pokok yang ditumpang, demikian sindir Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim.

Gerakan – parti yang kalah di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRU14 – kononnya berjanji mewakili rakyat dalam segala perkara, mengetengahkan kesederhanaan dan  memastikan PN sebagai wadah politik baharu negara.

Tidak ‘mempercayai’ janji itu, Ustaz Zamani berkata, kerajaan PN patut sedar bahawa punca utama masyarakat menolak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah disebabkan PKR dan PAN terlalu mengalah dengan ‘agenda’ parti rasis dan cauvinis DAP.

Beliau berkata, rakyat hanya boleh menerima kerajaan PN dengan harapan ia terus membela hak-hak orang Melayu sebagai tuan tanah watan ini.

“Justeru, saya tidak nampak atas dasar apa PN boleh membuka pintu kepada Gerakan masuk menyertai PN. 

“Kalau dilihat dari sudut keceluparan, parti ini menghina Islam seperti menuduh sekolah agama adalah punca rosaknya perpaduan nasional. 

“Sepatutnya sudah layak PN menutup pintu buat mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, semua maklum Gerakan hidup bersama Barisan Nasional (BN), kerana pada ketika itu BN adalah kerajaan, katanya lagi.

“Terlalu ‘kenyang’ parti ini pada ketika itu. Apabila BN tumbang, tidak segan silu parti ini isytihar keluar daripada BN. Bak kata pepatah ‘habis madu sepah dibuang’,” katanya.

Beliau menegaskan, BERJASA berpandangan bahawa matlamat utama PN untuk berkuasa adalah memperkasakan pelaksanaan Islam di negara ini sesuai dengan ketetapan bahawa Islam adalah agama persekutuan.

“Sebagai kerajaan dan demi menjaga maruah Islam, PN sepatutnya memberi kata dua kepada Gerakan. 

“Sekiranya ingin bersama PN, Gerakan hendaklah memohon maaf di atas segala keceluparannya kepada orang Islam dan sentiasa menjunjung Islam sebagai agama persekutuan. 

“Jika sebaliknya, Gerakan lebih baik berkawan dengan DAP, ini kerana nada dan agenda mereka adalah sama,” katanya.

PN dianggotai oleh BERSATU dan PAS manakala UMNO mengambil pendirian menyokong tetapi tidak sertai sebagai satu komponen. Ismaweb

One thought on “Apa rasional PN terima parti celupar seperti Gerakan

  • February 14, 2021 at 01:01
    Permalink

    Kenapa PN begitu bangan menerima Gerakan ke dlm gabungan PN. Slpas PRU ke 14, Gerakan kalah teruk dlm semua kerusi Parlimen dan DUn yg ditandingi kalah semua (dpt Sifar) Gerakan bertindak keluar dari komponen BN. Skg bila Gerakan melihat akan kekuatan PN, Gerakan mohon mnjd komponen PN. Bkn ke itu opurtunis namanya. Dlm PN ada UMNO, MCA dan MIC. Kenapa UMNO tdak membantah keras kdp Majlis PN menerima Gerakan. Sewajarnya UMNO membantah keras w/p terpaksa membaling kerusi semasa mesy dia adakan.Tak pelah,Jika ada calon2 Gerakan yg bertanding dlm mana2 kawasan Parrlimen dan DUN mewakili PN, diharap penyokong2 dan pengundi2 jgn sesekali mengundi calon2 dr Gerakan. Lebih baik undi parti lawan dan bg kemenagan kpd parti lawan dari PH. Bkn bnyk pun kerusi Parlien dan DUN yg akan diserahkan kpd Gerakan utk bertanding. Itu shj cara mengajar Gerakan ni yg mahu mnjd . opurtunism,mahu mengambil kesempatan.

    Reply

Leave a Reply