Cara Membuat Tuntutan Jika Terima Barangan Rosak Atau Pecah Dari J&T Malaysia
Beberapa hari yang lepas, syarikat kurier J&T Express telah menjadi topik perbualan netizen apabila tular rakaman video menunjukkan pekerja syarikat penghantaran tersebut kelihatan membaling parcel yang terdapat di hub sebagai tanda mogok kepada pihak pengurusan.
Sejak rakaman tersebut tular, rata-rata rakyat Malaysia menganggap syarikat penghantaran tersebut bersikap tidak bertanggungjawab kerana tidak mengendalikan barang pengguna dengan baik kerana terdapat sebahagian daripada mereka menerima bungkusan yang rosak serta terdapat barang yang hilang.
Bagi pengguna yang pernah mengalami situasi yang sama, sebenarnya anda boleh membuat tuntutan sehingga RM400 dari pusat syarikat penghantaran tersebut.
Jadi bagi membantu pengguna membuat tuntuan jika terdapat bungkusan yang diterima rosak atau hilang dari pusat J&T Malaysia, berikut kami senaraikan langkah-langkah membuat tuntutan tersebut.
Langkah-langkah bagi membuat tuntutan
Langkah pertama bagi pengguna untuk membuat tuntutan adalah pengguna mestilah membuat aduan dalam tempoh masa 48 jam selepas bungkusan diterima. Jika pengguna gagal membuat aduan dalam tempoh yang ditetapkan, pusat J&T Malaysia akan menolak permohonan tersebut.
Seterusnya, bagi barangan yang rosak atau hilang, hanya penghantar (sender) sahaja boleh membuat tuntutan atau wakil penghantar yang diberikan kuasa oleh penghantar secara bertulis.
Jadi, jika anda adalah penerima, dapatkan pengesahan bertulis dari penghantar untuk memulakan tuntutan bagi pihak penghantar.
Langkah ketiga, pengguna hendaklah mengisi borang tuntutan ganti rugi, lampirkan bukti bayaran melalui penyata bank, resit penghantaran serta salinan kad pengenalan.
Bagi sesebuah syarikat, anda dikehendaki menyediakan borang pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Walaupun begitu, jika dokumen-dokumen yang disenaraikan tidak lengkap, pusat J&T Malaysia berhak mendapatkan dokumen lain milik pengguna bagi memudahkan penyiasatan permintaan tuntutan tersebut.
Seterusnya, pengguna hendaklah menyediakan gambar bagi menunjukkan bungkusan tersebut mengalami kerosakan disebabkan pihak J&T Malaysia.
Kerosakan tersebut akan dinilai oleh syarikat penghantaran tersebut berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan kerana sudah menjadi tanggungjawab penghantar untuk membungkus barangan pengguna sewajarnya.
Maksudanya, jika terdapat barangan yang mudah pecah, penghantar mestilah membalut bungkusan tersebut dengan betul. Jika penghantar gagal mematuhi syarat ini, secara asasnya jika barangan tersebut rosak, ianya bukanlah kesalahan pihak J&T Malaysia malah penghantar perlu menanggung kos dan kerugian barangan tersebut.
Jumlah tuntutan bagi sesebuah barangan adalah terhad, pengguna tidak boleh membuat tuntutan mengikut kehendak kendiri tetapi ia perlu berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak J&T Malaysia.
Misalnya bagi barang yang hilang atau rosak yang beratnya kurang dari 2 kilogram yang dihantar secara domestik (dalam negeri), jumlah yang boleh dituntut adalah berdasarkan harga barangan yang mengalami kerosakan atau hilang.
Sebagai contoh, harga bagi sebuah kereta mainan yang dibeli dan dihantarkan adalah RM130.00. Kerosakannya adalah pada bahagian tayar yang terpatah. Tayar yang patah itu dinilaikan sebanyak RM20 sahaja jadi tuntutan barangan tersebut hanya RM20 sahaja.
Bagi situasi lain, sekiranya kereta mainan tersebut hilang, namun jumlah yang boleh dituntut hanyalah RM100 sahaja. Nilai tersebut merupakan nilai maksimum berdasarkan terma.
Walaupun begitu, jika barangan domestik yang melebihi 2.01 kilogram, harga maksimum yang boleh dituntut adalah sehingga RM300 berbeza dengan barangan dari luar negara iaitu harga maksimum yang boleh dituntut adalah sehingga RM400.
Namun, ganti rugi akan diberikan kepada jumlah yang paling rendah berdasarkan siasatan dan semakan dari pihak J&T Malaysia.
Bagi pengguna yang mempunyai pengalaman seperti ini, anda boleh membuat aduan melalui saluran talian hotline 24 jam pihak tersebut iaitu 1300-80-9000 atau emel di [email protected]. VC
You must be logged in to post a comment.