COVID-19 tiada dalam perlindungan insurans, takaful: BNM


COVID-19 tidak termasuk dalam perlindungan insurans dan takaful kerana risiko disebabkan oleh pandemik adalah sukar untuk ditentukan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata sekali pun pandemik dimasukkan ke dalam pelan insurans atau takaful, harganya adalah amat tinggi dan di luar kemampuan kebanyakan orang.

Katanya, ini adalah amalan di peringkat global, bukan hanya di Malaysia, namun di sebalik itu, pengendali insurans dan takaful di negara ini tetap komited untuk menyokong pemegang polisi yang terkesan dengan COVID-19.

“Jika anda masih ingat, di awal pandemik ini berlaku, syarikat insurans dan takaful ada menyediakan pelbagai bantuan termasuk langkah untuk melegakan beban kewangan pemegang polisi.

“Sebagai contoh, ada syarikat yang menyediakan bantuan tunai atau elaun penghospitalan. Industri juga menubuhkan dana ujian COVID-19 berjumlah RM8 juta bagi membantu pemegang polisi membayar ujian calitan yang dilakukan.

“Setakat ini, dana ini sudah memanfaatkan lebih 6,800 pemegang polisi dengan RM1.6 juta telah digunakan,” katanya pada sidang media maya mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2020, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, industri baru-baru ini meluaskan lagi kelayakan kriteria penggunaan dana terbabit dengan turut menyertakan kes tanpa simptom.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan pemegang polisi melakukan ujian secara sukarela, sekali gus membentu membendung penyebaran virus ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian, berkata bank pusat sedang bekerjasama dengan industri insurans dan takaful bagi menyokong rancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan usaha mereka untuk menjadikan hospital swasta tertentu sebagai pusat rawatan pesakit COVID-19.

“Hasratnya ialah untuk memastikan beban kewangan dihadapi pemegang polisi dari segi kos dapat dikurangkan ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta ini.

“Dalam usaha ini, adalah amat penting untuk kami nyatakan kepada semua pihak berkepentingan supaya memainkan peranan masing-masing bagi melindungi kepentingan pemegang polisi melangkaui pandemik ini.

“Untuk jangka panjang, kami mahu memastikan insurans dan takaful perubatan terus menjadi mampu milik untuk semua orang,” katanya. BH

Pilih pelan perlindungan takaful ikut keperluan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker