Adakah kita hanya boleh puji PM, soal Ahli Parlimen pembangkang

Ahli politik dan aktivis mengkritik cadangan untuk melarang penghinaan terhadap perdana menteri, dengan berkata, rakyat berhak memuji atau mengkritik pemimpin yang dipilih.

Wong Chen.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen daripada PKR berkata, cadangan itu akan mendorong Malaysia ke arah autoritarianisme dan juga melemahkan ekonomi.

“Kerajaan seharusnya melindungi kebebasan bersuara setiap orang dan tidak menghalangnya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia “berkelakuan baik dan banyak komen politik yang saya baca di media sosial bersifat kreatif dan lucu.”

“Sekiranya orang ramai tidak boleh mengkritik pihak berkuasa secara bergurau, maka apakah yang akan terjadi selepas ini? Adakah kita hanya diminta memuji perdana menteri di media sosial?,” katanya.

Fahri Azzat.

Fahri Azzat, seorang peguam hak kebebasan sivil berkata, peristiwa yang berlaku dalam kerajaan menunjukkan wujud darurat politik yang menyebabkan mereka mengisytiharkan darurat kebangsaan.

“Apabila melihat daripada konteks itu, kita boleh faham mengapa mereka perlu memberitahu kita supaya menutup mulut berhubung perkara yang mereka tidak suka dengar tentang perdana menteri,” katanya.

“Tetapi perdana menteri adalah penjawat awam tertinggi dan berkhidmat kepada rakyat. Orang ramai berhak memberi maklum balas kepada mereka, sama ada beliau suka atau tidak, mereka perlu mendengar suara orang ramai dan memahami kekecewaan mereka,” katanya kepada FMT.

Cadangan undang-undang baru mengenai komentar kritikal itu dibuat oleh Senator Razali Idris mewakili PPBM dan merupakan pengerusi kaukus Dewan Negara mengenai kesejahteraan rakyat.

Gesaan supaya undang-undang lebih ketat dibuat menyusul selepas komen yang terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di laman web Indonesia selepas lawatannya ke sana minggu lalu.

Fahri berkata pilihan undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi perdana menteri mengambil tindakan jika beliau merasai tuduhan tertentu melampaui batas undang-undang.

Dr Jeyakumar Devaraj.

Tambah beliau, jika kerajaan meneruskan undang-undang yang dicadangkan itu, ia dapat dilihat sebagai “penyalahgunaan undang-undang untuk menghalang perbezaan pendapat politik.”

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj berkata, negara ini memerlukan perdebatan yang baik, persaingan idea dan analisis untuk maju, yang tidak dapat dilakukan dengan menanamkan perasaan takut.

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata, kerajaan perlu menghentikan ucapan kebencian yang menghasut keganasan atau kenyataan tidak sensitif kaum yang kebanyakannya dibuat oleh ahli politik untuk terus berkuasa.

Charles Santiago.

“Ahli politik adalah pesalah terbesar yang berlumba-lumba untuk membina karier politik bagi mendapatkan sokongan. Tetapi mereka merosakkan perpaduan negara,” kata Jeyakumar.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, perdana menteri dilantik oleh rakyat dan beliau bertanggungjawab kepada negara.

“Rakyat pasti akan memuji dan mengkritik anda. Tetapi apa yang dikehendaki oleh senator itu hanyalah pujian tanpa kecaman. Tetapi rakyat berhak untuk mempersoalkan perdana menteri,” tambah Santiago.

 

https://mykmu.net/2018/04/24/apa-nak-takut-kritik-dap/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker