Segera asing kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya


Pelbagai komen, rujukan dan pendedahan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi bukunya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ membuktikan perlunya pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pengasingan kuasa itu perlu segera dilakukan kerana ia penting dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi terbabit.

“Buku tulisan Thomas mendorong Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) terpaksa mempertahankan reputasi kakitangan yang bekerja keras di Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Namun, realitinya persepsi umum terhadap AGC jelas bertentangan. Tiada autobiografi mahupun kenyataan yang mampu mengubah persepsi terhadap AGC sehinggalah Parlimen bersidang semula dan melakukan perubahan struktur serta reformasi yang diperlukan.

“Pengasingan kuasa ini juga terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dahulu kononnya akan segera dilaksanakan sebaik mengambil alih kerajaan. Namun dengan pelbagai kajian komprehensif masih berjalan sehinggalah PH tidak lagi berkuasa, ia masih belum terlaksana,” katanya menerusi kenyataan dalam blog rasminya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, apa yang terkandung dalam buku tulisan Thomas mengenai peruntukan jawatan Peguam Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah struktur lama dalam era baharu.

Justeru, beliau menegaskan, Parlimen perlu diiktiraf sebagai institusi yang telus bertanggungjawab melakukan semak dan imbang dalam isu pelantikan dan penyingkiran Peguam Negara.

“Dalam konteks kemungkinan berat sebelah, bagaimana seorang individu yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri sebagai Peguam Negara mampu menasihatkan kerajaan dan pada masa sama memiliki kuasa untuk mendakwa? Di manakah semak dan imbang?.

“Amat penting untuk kita ingat bahawa jawatan Peguam Negara termaktub dalam Perlembagaan dan oleh itu, Peguam Negara bukan mewakili badan eksekutif atau kehakiman. Peguam Negara seharusnya bebas,” katanya. BH

‘Dr M desak Najib lantik saya sebagai pendakwa raya kes Anwar’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker